PORTUGAL: Bintang muda KTM, Pedro Acosta, menyifatkan musim MotoGP 2027 sebagai ‘loteri’, dengan perubahan besar-besaran pada peraturan dijangka mengubah sepenuhnya wajah kejuaraan dunia itu.
Semua kontrak pasukan kilang akan tamat pada penghujung 2026, menjadikan musim 2027 antara pasaran pelumba paling panas dalam sejarah MotoGP.
“Saya fikir musim 2027 akan jadi seperti loteri. Semua orang akan bertaruh, ada yang menang, ada yang kalah,” katanya.
Acosta, 21, yang sebelum ini dikaitkan dengan perpindahan ke VR46 Ducati dan Honda, dijangka menjadi antara nama besar yang akan mempengaruhi susunan grid 2027.
Bagaimanapun, Acosta mengakui masih kecewa dengan kemajuan perlahan KTM musim ini, biarpun pasukan berkenaan menunjukkan peningkatan ketara selepas cuti musim panas.
“Saya marah dan tidak puas hati, tetapi lebih kepada diri sendiri kerana keputusan tidak seperti diharapkan.
“Sekarang saya lebih tenang. Saya tahu saya sudah beri 100 peratus, dan selebihnya bukan di tangan saya,” katanya kepada laman rasmi MotoGP.
Acosta menegaskan KTM sedar bahawa mereka perlu bekerja lebih keras jika mahu kekal sebagai pencabar podium.
“Anda tidak boleh ubah segalanya dalam sekelip mata. Saya akan cuba kekal tenang. Jika masa itu tiba, ia akan tiba. Apabila kita cukup kompetitif, semuanya akan terbuka,” ujarnya.
Menjelang musim 2027, keputusan penting dijangka dibuat seawal tahun depan dengan ujian pra-musim dan beberapa pusingan awal bakal menentukan hala tuju kerjaya ramai pelumba utama.-AGENSI






