Acer Nitro V 16 S Dijual Di Malaysia Bermula Harga RM4999
Amy Maizuraa
Acer Malaysia memperkenalkan komputer riba baharu menerusi model Nitro V 16S yang hadir dalam empat pilihan variasi model. Siri ini direka untuk pengguna yang mengutamakan prestasi tinggi dalam permainan video dan tugasan berat.

Acer Nitro V 16 S dilengkapi skrin 16 inci dengan pilihan resolusi WQXGA atau WUXGA. Ia menggunakan panel IPS dengan kadar segar semula 180Hz, nisbah aspek 16:10 dan liputan warna sRGB 100%. Masa tindak balas 3ms GTG turut disediakan memastikan sokongan paparan yang lancar dan jelas.

Acer Nitro V 16 S menawarkan pilihan CPU Intel Core 7 240H, Intel Core 5 210H, AMD Ryzen 7 260 atau AMD Ryzen 5 240 bergantung pada model. Ia menggunakan GPU NVIDIA GeForce RTX 5060 atau RTX 5050 dengan memori GDDR7 8GB. Storan turut tersedia dalam pilihan SSD 512GB atau 1TB bersama RAM DDR5 16GB yang boleh dinaik taraf hingga 32GB.

Acer Nitro V 16 S dilengkapi dengan audio DTS:X Ultra, Hi:Res dan Acer PurifiedVoice untuk bunyi yang jelas. Kamera HD digunakan menyokong rakaman 30FPS dengan teknologi pengurangan hingar. Ia juga hadir dengan bateri berkapasiti 76Wh dan jaminan selama dua tahun termasuk perlindungan global pada tahun pertama.

Komputer riba ini turut dilengkapi pelbagai pilihan I/O termasuk USB Type-C yang menyokong USB4 40Gbps, DisplayPort, pengecasan USB dan DC-in. Ia juga menawarkan port USB Standard-A, HDMI 2.1, pembaca kad microSD, bicu audio 3.5mm, port Ethernet RJ-45 dan port DC-in untuk kegunaan tambahan.


Acer Nitro V 16 S ditawarkan di Malaysia pada harga antara RM4,999 hingga RM6,099 bergantung kepada spesifikasi yang dipilih. Setiap pembelian tersebut disertakan dengan perisian Microsoft Office Home 2024, langganan Microsoft 365 Basic selama setahun, akses XBOX Gamepass selama 3 bulan serta beg galas Nitro sebagai hadiah eksklusif.
Komen
Sila log masuk untuk menghantar komen.






