Timbalan Pengarah Pengurusan (Perkhidmatan/Perjawatan) Jabatan Pengurusan Bukit Aman CP Ab Rahaman Arsad, dilantik sebagai Ketua Polis Johor yang baharu berkuat kuasa hari ini.
Ab Rahaman, 58, anak jati Johor yang berasal dari Kulai menggantikan Datuk M. Kumar, 56, yang dilantik sebagai Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman.
Majlis serah terima tugas berlangsung di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor disaksikan Pengarah Pengurusan PDRM Datuk Seri Abdul Aziz Abdul Majid, ketua-ketua polis daerah serta warga IPK Johor.
Pada majlis itu, Abdul Aziz turut memakaikan pangkat CP (Komisioner Polis) kepada Ab Rahaman.
Abdul Aziz dalam ucapannya merakamkan penghargaan kepada Kumar atas khidmat cemerlang beliau selama lebih 18 tahun di Johor, sambil menyatakan keyakinan terhadap kemampuan Ab Rahaman untuk meneruskan kecemerlangan di negeri itu.
“Saya percaya Ab Rahaman adalah calon yang tepat sebagai Ketua Polis Johor dan kita di Bukit Aman meletakkan harapan yang cukup tinggi terhadap kemampuan beliau,” katanya.
Ab Rahaman memulakan kerjaya dalam pasukan PDRM pada 1989 dan pernah memegang jawatan sebagai Ketua Jabatan Pengurusan di IPK Negeri Sembilan dan Kedah.
Sementara itu, Kumar yang menyertai PDRM pada 1 Disember 1991 dan pernah memegang pelbagai jawatan termasuk Timbalan Ketua Polis Johor menyatakan keyakinan terhadap kemampuan penggantinya.
“Saya merakamkan penghargaan kepada seluruh warga IPK Johor, kepimpinan kerajaan negeri, agensi penguat kuasa, badan bukan kerajaan dan pengamal media atas sokongan padu yang diberikan sepanjang saya berkhidmat di Johor,” katanya.
Majlis turut menyaksikan serah terima tugas Pengerusi Persatuan Keluarga Polis (PERKEP) Kontinjen Johor antara SP Shanthi dan Salwah Mahdan yang disaksikan Pengerusi PERKEP Jabatan Pengurusan Datin Seri Selmiah Tuan Ibrahim.
Pada sidang media pertamanya di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor, hari ini, Ab Rahaman berkata dia bersedia memikul amanah besar dalam mendepani cabaran menjaga keamanan di negeri ini selain bertekad membawa pembaharuan menerusi pendekatan kepimpinan berteraskan prinsip ‘Great’.
Anak jati Kulai, Johor itu berkata walaupun kali pertama berkhidmat di negeri kelahirannya, pengalaman luas dalam perkhidmatan sebelum ini akan dimanfaatkan sepenuhnya bagi memperkasakan pentadbiran dan keselamatan negeri sebagai Ketua Polis Johor ke-67.
Beliau berkata fokus pentadbirannya di negeri ini akan tertumpu kepada tiga misi utama iaitu menyediakan perkhidmatan kepolisan yang profesional dan berintegriti, memperkukuh tadbir urus penyampaian perkhidmatan serta meningkatkan kebajikan warga Polis Diraja Malaysia (PDRM) di negeri ini.
“Tiga tumpuan ini selaras dengan hala tuju pucuk pimpinan PDRM di semua kontinjen, namun saya akan membawa nilai tambah menerusi prinsip GREAT atau G-R-E-A-T yang akan dijadikan panduan utama bagi semua warga polis Johor,” katanya.
Ab Rahaman berkata konsep Great merangkumi prinsip Good Governance (Tadbir Urus Baik), Responsibility (Tanggungjawab), Empathy (Ehsan), Accountability (Kebertanggungjawaban), dan Tenacity of Purpose (Keteguhan Matlamat).
Mengulas cabaran keselamatan di Johor, beliau berkata kedudukan strategik negeri itu yang bersempadan dengan Singapura dan berhampiran Indonesia menjadikannya pintu masuk penting negara, sekali gus memerlukan kesiapsiagaan tinggi daripada seluruh pasukan PDRM.
“Johor adalah sebuah negeri yang menjadi tumpuan dari pelbagai aspek termasuk ekonomi, sosial dan politik, maka peranan PDRM amat penting dalam memastikan keselamatan dan ketenteraman awam terus terpelihara,” katanya.
Beliau menyifatkan kekuatan lebih 10,000 pegawai dan anggota polis di Johor sebagai aset utama dalam mendepani pelbagai cabaran keselamatan semasa, termasuk jenayah rentas sempadan dan penyalahgunaan dadah.
“Saya percaya dengan kerjasama semua ketua jabatan dan ketua polis daerah, kita mampu mengekalkan tahap keselamatan dan ketenteraman awam yang tinggi di negeri ini,” katanya.
– Bernama