PETALING JAYA: Beregu lelaki No. 2 dunia, Aaron Chia-Soh Wooi Yik menjejakkan kaki ke separuh akhir selepas menyingkirkan wakil Indonesia, Leo Rolly Carnando-Bagas Maulana pada peringkat lapan terbaik Kejohanan Badminton China Masters di Shenzhen, China, hari ini.
Gandingan No. 1 Malaysia itu mengambil masa selama 39 minit untuk membenam Leo-Bagas yang menghuni ranking ke-16 dunia 21-19, 21-18 di Shenzhen Arena.
Kedua-dua beregu itu belum pernah bertemu di mana-mana pentas antarabangsa sejak Leo-Bagas digandingkan bersama dan kemenangan tersebut meletakkan Aaron-Wooi Yik kini mendahului 1-0 ke atas beregu dari negara tetangga itu.
Pada separuh akhir, esok, Aaron-Wooi Yik bakal berdepan beregu No. 7 dunia, Satwiksairaj Rankireddy-Chirag Shetty dari India.
Berdasarkan rekod pertemuan, kelebihan psikologi berpihak kepada gandingan negara selepas mendahului selesa 11-4.
Namun, Aaron-Wooi Yik perlu berhati-hati kerana pasangan India yang merupakan bekas beregu No. 1 dunia itu kini kembali berada pada prestasi terbaik mereka.
Aaron berkata, dia dapat berasakan prestasi mereka kini semakin baik, walaupun tidak berpuas hati sepenuhnya, tetapi masih lebih baik daripada dua perlawanan sebelum ini.
“Seperti yang saya katakan, lebih baik daripada dua perlawanan sebelum ini dan aksi semasa di Hong Kong, tetapi saya rasa ia masih bukan yang terbaik lagi.
“Kami masih mengejar prestasi terbaik kami, harap ia boleh jadi lebih baik daripada hari ini, esok,” katanya ketika ditemu bual oleh wakil Persekutuan Badminton Dunia (BWF) selepas perlawanan berakhir.
Mengulas pula mengenai aksi separuh akhir, esok, Wooi Yik pula berkata, Rankireddy-Shetty merupakan lawan yang sukar untuk mereka dan hanya yang terbaik perlu dipamerkan menentang beregu handalan India itu.
“Saya rasa sudah tentu mereka lawan yang sukar dan merupakan seteru lama kami.
“Jadi, kami hanya perlu memberikan yang terbaik, esok dan kita akan lihat bagaimana ia berjalan dan ya, kami akan bersedia untuk pertemuan itu,” katanya. – UTUSAN