Malaysia Oversight

Aaliyah akhiri aksinya di tangga No. 7 dunia

By Utusan in September 2, 2025 – Reading time 2 minute
Aaliyah akhiri aksinya di tangga No. 7 dunia


PETALING JAYA: Atlet ski air negara, Aaliyah Yoong Hanifah berjaya memperbaiki pencapaiannya pada Kejohanan Ski Air Dunia IWWF 2025 selepas melengkapkan aksinya di kedudukan ketujuh keseluruhan di Reccetto, Itali, hujung minggu lalu.

Walaupun tidak mencatat keputusan podium, namun, kedudukan tersebut bukan mudah dicapai khususnya wakil dari Asia dalam sukan yang didominasi peserta dari benua Amerika dan Eropah.

Aaliyah yang juga merupakan atlet ski air No. 1 Asia beraksi cemerlang dalam dua acara iaitu lompat dan tricks di pentas akhir.

Pada ketika Malaysia meraikan sambutan Hari Kemerdekaan ke-68 di , Ahad lalu, Aaliyah pula berjuang hampir 9,000 kilometer jauhnya di bumi Itali menghadiahkan keputusan membanggakan selepas menamatkan saingan di tempat keenam dalam acara lompat.

Keputusan itu secara tidak langsung telah menempatkan Aaliyah di tangga ketujuh keseluruhan.

Kedudukan tersebut adalah pencapaian terbaik Aaliyah pada kejohanan dunia, selain, menjadikannya atlet Asia pertama menamatkan saingan dalam kelompok 10 terbaik bagi acara lompat, tricks dan keseluruhan.

Ratu ski air negara berusia 22 tahun itu menamatkan cabaran dengan kutipan 2,343.91 mata keseluruhan bagi tiga disiplin iaitu slalom, tricks serta lompat dan sekali gus mengatasi 20 peserta lain dalam kategori wanita terbuka.

Lebih manis, Aaliyah mencatat rekod kebangsaan yang baharu selepas melakukan lompatan sejauh 51 meter (167 kaki) pada final acara lompat, manakala, dalam acara tricks, dia meraih 7,490 mata untuk menduduki tempat ke-10 keseluruhan.

Juara dunia dalam acara lompat menjadi milik atlet Amerika Syarikat, Hanna Straltsova yang juga juara dunia 10 kali, selepas melakukan lompatan sejauh 56.8 meter (186 kaki).

Aaliyah berkata, dia gembira dengan pencapaian peribadi yang dilakarnya pada kejohanan dunia bagi edisi kali ini yang disifatkan luar biasa.

“Sewaktu tiba di sini, sasaran saya hanyalah mara ke final acara lompat dan tricks serta berada dalam kelompok 10 terbaik. Alhamdulillah, semua sasaran tercapai,” katanya.

Kata Aaliyah, selepas ini, dia akan pulang ke Florida, Amerika Syarikat bagi menyambung pengajiannya dalam bidang Psikologi di Florida Southern College, sebelum mempersiapkan diri untuk penampilannya pada Sukan SEA di Thailand, hujung tahun ini.

Sementara itu, bapanya yang juga merangkap sebagai jurulatih, Hanifah Yoong berkata, pencapaian Aaliyah yang melakukan lompatan sejauh 51 meter mungkin mampu menjadi satu titik perubahan dalam karier anaknya itu.

“Kami tidak sama sekali menyangka kerana sasaran asal hanya mahu pecah rekod peribadi 49.5 meter sudah memadai.

“Tetapi apabila dia berjaya melepasi 50 meter, saya menjangkakan Aaliyah mampu berada dalam kelompok tiga terbaik dunia dalam acara lompat dan keseluruhan pada Kejohanan Dunia 2031,” katanya. – UTUSAN





Source link