90 Peratus Kawasan Berpenduduk Di Sarawak Kini Menikmati Sambungan Internet
Nazrin
Sewaktu acara IDECS 2025, Premier Sarawak Yang Amat Bahagia Datuk Patinggi Tan Sri Dr Abang Haji Abdul Rahman Zohari juga telah memberi kemaskini berkenaan ketersambungan rangkaian internet di Sarawak.

Beliau mengumumkan bahawa kini lebih dari 90 peratus daripada kawasan berpenduduk di seluruh Sarawak sudahpun boleh menikmati sambungan internet, membolehkan mereka untuk berkomunikasi dengan orang ramai bukan sahaja di dalam Sarawak, tetapi di seluruh Malaysia dan juga dunia.
Ini adalah berterima kasih kepada pelbagai pelan negeri tersebut untuk membangunkan pelbagai infrastruktur seperti pencawang rangkaian dan kabel gentian optik untuk kawasan-kawasan berpenduduk dan perindustrian untuk mempercepatkan lagi proses pendigitalan perkhidmatan.

Dalam pada itu, untuk mereka yang duduk di kawasan pendalaman pula, kerajaan Sarawak turut memperkenalkan program Sarawak Rural Broadband Network (MySRBN) melalui Sarawak Digital Economy Corporation untuk memastikan kawasan-kawasan berpenduduk di luar bandar di kawasan utara dan selatan Sarawak juga boleh memanfaatkan perkhidmatan internet.

Dengan perkhidmatan internet yang meluas ini, Premier Sarawak juga telah mengumumkan bahawa setakat ini, sebanyak 25 ribu syarikat PKS (perusahaan kecil dan sederhana) telah mendigitalkan perniagaan mereka dengan bantuan kerajaan negeri, dan angka ini dijangka akan meningkat lagi menjelang 2030.

Kerajaan Sarawak juga dilihat berada di landasan yang betul untuk mencapai pembangunan 7000 menara pencawang telekomunikasi di seluruh negeri tersebut menjelang 2030 berdasarkan pelan Post COVID Development Strategy 2030 oleh kerajaan tersebut.
Komen
Sila log masuk untuk menghantar komen.






