Malaysia Oversight

70 peratus peserta PeKa B40 menghidap NCD

By MkiniBM in September 2, 2025 – Reading time 2 minute
70 peratus peserta PeKa B40 menghidap NCD


Hampir 70 peratus peserta saringan kesihatan percuma di bawah Skim Peduli Kesihatan untuk Kumpulan B40 (PeKa B40) pada tahun lalu dikesan menghidap sekurang-kurangnya satu penyakit tidak berjangkit (NCD), sekali gus memberikan amaran jelas terhadap krisis kesihatan senyap yang kian membelenggu negara.

Pengurus Pakej Manfaat dan Harga Unit Pembelian Strategik ProtectHealth Corporation Sdn Bhd (ProtectHealth), Dr Yussni Aris @ Harris berkata 301,650 individu disaring menerusi PeKa B40 pada 2024.

Daripada jumlah itu, katanya, 25 peratus didapati menghidap dua atau lebih NCD seperti kencing manis, hipertensi, kolesterol tinggi dan obesiti.

“Ini menunjukkan berlakunya peningkatan kes multimorbiditi dalam kalangan golongan berpendapatan rendah.

“Ia membuktikan risiko tinggi yang dihadapi golongan berkenaan dan mereka mungkin tidak menyedari mereka menghidap NCD,” katanya kepada Bernama baru-baru ini.

Yussni berkata dapatan Tinjauan Kebangsaan Kesihatan dan Morbiditi (NHMS) 2023 jelas menunjukkan keadaan yang membimbangkan apabila 2.5 peratus orang dewasa di Malaysia menghidap keempat-empat jenis NCD utama secara serentak, manakala dua daripada lima penghidap diabetes tidak mengetahui mereka menghidap penyakit itu sehingga disaring.

Katanya peningkatan NCD bukan sahaja menjejaskan kesihatan individu, malah mengancam produktiviti negara secara keseluruhan.

Dia berkata berdasarkan laporan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) pada 2022, NCD menyumbang kepada 74 peratus kematian di Malaysia dengan sebahagian besarnya melibatkan golongan usia produktif antara 35 hingga 64 tahun.

“Jika trend ini berterusan, lebih ramai akan mengalami komplikasi seperti strok, serangan jantung dan kegagalan buah pinggang. Rawatannya bukan sahaja mahal, malah akan membebankan sistem kesihatan negara dan keluarga pesakit,” katanya.

552bed4b7eead4a07491fb0693143d20
Gambar hiasan

Sejak dilancarkan pada 31 Mei 2019, hanya 1.6 juta rakyat Malaysia daripada kumpulan B40 memanfaatkan saringan kesihatan percuma di bawah PeKa B40 setakat 31 Mei lalu.

Skim itu menawarkan pemeriksaan kesihatan menyeluruh kepada 6.9 juta penerima Sumbangan Tunai Rahmah (STR), dengan komitmen berterusan untuk meningkatkan kesedaran tentang kepentingan pencegahan awal dalam kalangan masyarakat.

Bagi memperluas capaian saringan, Yussni berkata, ProtectHealth menjalin kerjasama strategik dengan 3,979 klinik swasta, 1,044 klinik kesihatan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), 149 hospital dan 211 makmal swasta.

Katanya inisiatif berkenaan turut merangkumi program komuniti jangkau luar dan lawatan rumah ke rumah bagi memastikan golongan berisiko tinggi serta berpendapatan rendah tidak tercicir.

“Kita boleh sediakan akses, kemudahan dan maklumat, tetapi jika rakyat sendiri tidak tampil untuk menjalani saringan, krisis kesihatan senyap ini akan terus berlarutan tanpa disedari,” katanya.

ProtectHealth ialah anak syarikat milik penuh ProtectHealth Malaysia di bawah KKM yang ditubuhkan pada 19 Dis 2016.

Syarikat itu dipertanggungjawabkan untuk menyelaras, mentadbir dan mengurus pelbagai inisiatif pembiayaan perkhidmatan penjagaan kesihatan yang diamanahkan oleh KKM, termasuk PeKa B40, Skim Perubatan MADANI dan Program Penyumberluaran Perkhidmatan Hospital (HSOP).

Bernama



Source link