Malaysia Oversight

7 pemain warisan baru sah tak akan lawan Laos minggu depan

By MkiniBM in October 3, 2025 – Reading time 1 minute
7 pemain warisan baru sah tak akan lawan Laos minggu depan


Tujuh pemain warisan baru Malaysia sah tidak akan bersama Harimau Malaya bagi perlawanan Kelayakan Piala Asia 2027 bertemu Laos, minggu depan.

Nama ketujuh-tujuh pemain bernilai tinggi yang beraksi di Eropah dan Amerika Latin itu tiada dalam senarai panggilan Harimau Malaya yang diumumkan hari ini.

Perkara itu mungkin disebabkan rayuan mereka dengan Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (Fifa), setelah digantung 12 bulan, masih belum selesai.

Tujuh pemain terbabit ialah Gabriel Palmero, Facundo Garces, Rodrigo Holgado, Imanol Machuca, Joao Figueiredo, Jon Irazabal serta Hector Hevel.

Bagaimanapun, terdapat muka baru dipanggil, iaitu pemain naturalisasi baru Jordan Mintah serta rakan sepasukannya dari Kuching City Muhammad Ramadhan Saifullah, selain Declan Lambert (Kuala Lumpur City).

410b59cbbea49c22ccb5762433ed7376

Pemain warisan dari Amerika Syarikat Wan Ahmad Kuzain Wan Ahmad Kamal (St Louis City), yang telah lama disebut-sebut, dimasukkan dalam senarai menunggu.

Malaysia akan bertolak ke Vientiane, Laos pada 6 ke 8 Okt untuk latihan pusat sebagai persediaan menghadapi tuan rumah pada Khamis, 9 Okt di New Laos National Stadium.

Latihan pusat seterusnya akan bersambung di Kuala Lumpur pada 10-13 Okt menjelang aksi timbal balik menentang Laos pada Selasa, 14 Okt di Stadium Nasional Bukit Jalil.

Seramai 22 pemain dari skuad menentang Singapura dan Palestin pada perlawanan antarabangsa Tier 1 masing-masing pada 4 Sept dan 8 Sept lepas, dikekalkan oleh ketua jurulatih Peter Cklamovski.

Selain itu, dua pemain dari skuad B-23 tahun turut dibawa masuk, iaitu Aliff Izwan Yuslan dan Muhammad Ubaidullah Shamsul.



Source link