Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) memperoleh perintah reman selama tiga hari terhadap tujuh daripada 11 pegawai Jabatan Imigresen yang ditahan semalam.
Penahanan mereka berkaitan program Penetapan Semula Tenaga Kerja (RTK), juga dikenali sebagai “sindiket pemutihan”.
Peguam yang mewakili mereka, Tania Scivetti, mengesahkan kepada Malaysiakini bahawa majistret Putrajaya Izra Zulaikha Rohanuddin telah membenarkan perintah reman tersebut pagi tadi.
“(Majistret) mengarahkan tujuh pegawai itu direman selama tiga hari (bermula 13 Nov) hingga 15 Nov, manakala dua daripada mereka dibebaskan hari ini,” katanya.
Tidak jelas mengenai nasib dua lagi individu yang turut ditahan semalam, walaupun kesemua 11 suspek dibawa ke Mahkamah Majistret hari ini untuk permohonan reman.
Peguam lain yang membantu pasukan pembelaan termasuk Wan Azwan Aiman, Hartrisha Kaur Sandhu dan Aliff Lamra.
Menurut sumber SPRM, kesemua suspek melibatkan empat lelaki dan tiga wanita berusia lingkungan 30 hingga 50-an telah ditahan di beberapa lokasi sekitar Lembah Klang menerusi Op Bleach yang dijalankan Bahagian Perisikan SPRM semalam.
“Kesemua suspek dipercayai menerima rasuah sebagai balasan bagi mempercepat permohonan pendatang asing yang berada di negara ini sebagai pekerja asing sah menerusi program RTK.
“Op Bleach ini adalah operasi susulan yang dijalankan SPRM berkaitan sindiket Counter Setting menerusi Op Rentas dan Op Dygo yang dijalankan baru-baru ini,” katanya.
Sumber berkata, susulan tangkapan itu juga, SPRM turut menyita wang tunai lebih RM116,000, 14 unit peranti telekomunikasi, barang kemas serta kepingan emas, tiga unit kereta serta dua unit motosikal.
Untuk rekod, semalam SPRM telah menahan 11 individu. Bagaimanapun empat daripadanya telah dilepaskan dengan jaminan SPRM.
Sementara itu, Pengarah Kanan Bahagian Perisikan SPRM Saiful Ezral Arifin ketika dihubungi mengesahkan penahanan reman tersebut dan berkata kes disiasat di bawah Seksyen 17 Akta SPRM 2009.
Semalam, Malaysiakini melaporkan bahawa SPRM telah menahan 11 pegawai Imigresen, dengan dua daripadanya dipercayai memainkan peranan penting dalam sindiket tersebut.
Program RTK merupakan skim penetapan semula khas oleh Jabatan Imigresen yang membolehkan majikan menggaji pekerja asing tanpa izin (PATI) yang telah tinggal lebih masa atau tidak mempunyai permit sah.
RTK 1.0 diperkenalkan pada 28 Disember 2020 sebagai program sementara untuk mengesahkan status pendatang tanpa izin, manakala RTK 2.0 berlangsung dari 27 Jan hingga 31 Dis 2023.
Menurut laporan media, dalam tujuh bulan pertama pelaksanaan RTK 2.0 sahaja, sebanyak 720,099 pendatang tanpa izin telah didaftarkan di bawah 51,753 majikan.
Yuran penetapan semula di bawah RTK 2.0 ditetapkan pada RM1,500 bagi setiap pekerja, dengan kadar levi antara RM640 hingga RM1,850 bergantung kepada sektor, selain yuran pas RM60 dan yuran pemprosesan RM125.
Bagaimanapun, siasatan Malaysiakini mendapati terdapat dakwaan bahawa pihak tertentu telah menyeleweng ratusan juta ringgit melalui program tersebut.






