Malaysia Oversight

60 hari lepas siri kedua skandal Sabah

By MkiniBM in August 27, 2025 – Reading time 2 minute
60 hari lepas siri kedua skandal Sabah


Warisan terus menghitung hari sejak tercetusnya siri kedua skandal perlombongan Sabah, yang mengaitkan enam pemimpin kanan dari Parti Solidariti Tanah Airku (Star) dan Parti Bersatu Sabah (PBS) – dua komponen utama dalam negeri Gabungan Rakyat Sabah (GRS).

Ahli Majlis Tertinggi Warisan, Ahmad Hassan, menegaskan bahawa hari ini genap 60 hari SPRM membungkam berhubung pendedahan mengejut itu.

“Rakyat Sabah ingin tahu apa hasil siasatan SPRM berhubung kes tersebut? Berapa orang saksi telah dipanggil untuk merakam keterangan? “ soalnya dalam satu kenyataan hari ini.

“Adakah kertas siasatan telah lengkap dan rujuk kepada peguam negara? Berapa orang suspek yang terlibat akan didakwa ke mahkamah? SPRM tidak pernah membuat sebarang kenyataan berhubung perkembangan siasatan kes tersebut.

“Kes ini turut melibatkan kepentingan negeri dan kepentingan masyarakat Sabah. Sumber mineral di Sabah bukan dimiliki oleh para pemimpin politik di dalam GRS,” tambahnya.

b1c1caa2edfa0885a926298da37db0a0

Sehubungan itu, Ahmad menggesa SPRM supaya menyiasat enam pemimpin terbabit secara cekap, telus dan tanpa gentar atau pilih kasih.

Dia turut mendesak suruhanjaya itu memberi taklimat penuh kepada orang ramai mengenai proses siasatan dan tindakan susulan tanpa berlengah lagi.

Sebelum ini, Elopura dari Warisan, Calvin Chong, menggesa keenam-enam individu tersebut membuat laporan polis atau mengambil tindakan undang-undang sekiranya dakwaan tersebut adalah tidak benar.

Pada 28 Jun lalu, Malaysiakini melaporkan enam lagi ahli politik Sabah terpalit dalam skandal tersebut selepas pendedahan awal ahli perniagaan Albert Tei yang sebelum ini mengaitkan lapan individu lain.

242575030fbc3b1eae14c6d4aa637a30

Enam yang dinamakan ialah Presiden Star merangkap Timbalan Ketua Menteri I, Jeffrey Kitingan; dua timbalannya – Ellron Alfred Angin (juga menteri belia dan sukan Sabah) dan Robert Tawik (merangkap pembantu menteri kerja raya negeri); Pemangku Presiden PBS merangkap Timbalan Ketua Menteri II, Joachim Gunsalam; bekas presiden Maximus Ongkili; serta timbalan presiden parti itu, Jahid Jahim (juga menteri pembangunan luar bandar Sabah).

Sumber mendakwa jumlah rasuah yang didakwa melibatkan “enam individu” berkenaan mencecah hampir RM4 juta.

Sumber itu turut mengemukakan kepada Malaysiakini beberapa tangkap layar yang didakwa diambil daripada rakaman video melibatkan pemimpin terbabit. Malaysiakini juga ditunjukkan petikan ringkas rakaman tersebut, namun tidak dibenarkan untuk menyiarkannya.

Susulan pendedahan itu, Kitingan menafikan menerima RM1.78 juta dalam bentuk rasuah dan menyifatkan tuduhan tersebut sebagai “serangan bermotif politik untuk menggugat, memburuk-burukkan dan menghancurkan” Sabah.

Presiden Star itu turut memberi amaran akan mengambil tindakan undang-undang terhadap apa yang disifatkannya sebagai “laporan tidak bertanggungjawab dan merosakkan”. Joachim Gunsalam dan timbalannya juga menafikan dakwaan berkenaan.

Sehingga kini, SPRM masih belum mengulas berhubung pendedahan itu.



Source link