PARLIMEN | Enam anggota parlimen yang dipecat Bersatu kerana menyokong Perdana Menteri Anwar Ibrahim masih mewakili pembangkang di Dewan Rakyat, kata Speaker Johari Abdul.
Katanya, keputusan itu dibuat mengikut Perlembagaan Persekutuan dan Peraturan Mesyuarat.
“Setakat yang saya fikirkan enam orang ini masih dikira pembangkang. Sebab tak ada satu pun ayat yang ditulis kepada saya, mereka ingin tinggalkan pembangkang untuk menyertai kerajaan.
“Untuk itu bagi saya mereka masih blok ini (pembangkang), sebab itu saya tak pindah pun mereka dari blok pembangkang.
“Mereka masih ditakrifkan sebagai orang yang berhak untuk bertanya dalam blok ini, tidak adil untuk katakan mereka ini satu kumpulan yang berbeza. Selagi tidak ada hitam putih mereka naik masuk kerajaan, saya ambil sikap mereka sebahagian pembangkang,” katanaya di Dewan Rakyat hari ini.

Demikian katanya ketika menjawab, Ahli Parlimen Rosol Wahid (PN-Hulu Terengganu) yang bertanya kepada speaker menyatakan status enam parlimen itu.
Enam ahli parlimen berkenaan adalah Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal (Bukit Gantang), Dr Suhaili Abdul Rahman (Labuan), Zahari Kechik (Jeli), Mohd Azizi Abu Naim (Gua Musang), Iskandar Dzulkarnain Abdul Khalid (Kuala Kangsar) dan Dr Zulkafperi Hanafi (Tanjong Karang).
Sementara itu, Johari juga menolak pandangan Takiyuddin Hassan (PN-Kota Bharu) bahawa dalam konteks bertanya soalan enam ahli parlimen perlu dianggap sebagai blok kerajaan selepas menyokong perdana menteri.
“Tidak ada hitam putih mereka berkata nak tinggalkan pembangkang. Berapa kali Kota Bharu sendiri menyokong kerajaan,” kata Johari.
Takiyuddin kemudian menjelaskan bahawa menyokong isu rakyat dan negara berbeza dengan menyokong kerajaan.
Johari bagaimanapun menegaskan bahawa enam ahli parlimen akan tetap dianggap sebagai wakil rakyat pembangkang dan akan berada di blok pembangkang.
Dewan kecoh kerana ‘mamba’ dan ‘mambang’
Terdahulu, Dewan Rakyat menjadi kecoh seketika selepas RSN Rayer (PH-Jelutong) meminta Rosol menarik balik perkataan “mamba” (layu) yang dirujuk kepada enam ahli parlimen itu.
“Kenyataan Hulu Terengganu yang rujuk ahli parlimen sebagai ‘mamba’ perkataan kurang sopan. Kalau saya rujuk Hulu Terengganu sebagai mamba atau kurang keras, boleh terima?” katanya.

Dewan menjadi kecoh apabila Rayer sekali lagi bertanya apakah pembangkang menerima jika parti PAS dirujuk sebagai “mambang” (makhluk halus), perkataan yang bunyinya seakan-akan “mamba’.
Takiyuddin bagaimanapun menganggap perkara itu “menghina Islam”.
“Jelutong menghina Islam. You menghina Islam. You memang anti-Islam,” marahnya.

Kemudian, lebih ramai ahli parlimen dari kedua-dua blok tampil menuduh pihak lain sebagai menggunakan perkataan menghina, sebelum speaker meminta semua pihak duduk dan meneruskan perbahasan berkaitan Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13).
“Saya buat keputusan, ‘case closed’ (isu selesai),” kata Johari.
Laporan oleh Alyaa Alhadjri, Qistina Nadia Dzulqarnain, B Nantha Kumar