WASHINGTON: Ribuan penunjuk perasaan membanjiri ibu negara Amerika Syarikat (AS) pada Sabtu dalam protes besar-besaran yang dikenali sebagai gerakan ‘No Kings’, menentang dasar Presiden Donald Trump yang bersifat autoritarian, terutama dalam isu imigresen, pendidikan dan keselamatan.
Demonstrasi di Washington merupakan sebahagian daripada lebih 2,600 acara yang dirancang di seluruh 50 negeri di AS dan beberapa bandar antarabangsa seperti London dan Madrid, menjadikan ia antara gerakan bantahan terbesar sejak Trump kembali ke tampuk pemerintahan.
Penganjur menyifatkan gerakan ini sebagai respon terhadap kecenderungan pentadbiran Trump yang semakin menyerupai pemerintahan autokratik, menekan hak asasi manusia dan mencabar norma demokrasi yang telah lama menjadi tunjang sistem politik Amerika.
“Tiada yang lebih patriotik daripada menolak pemerintahan ala monarki dan menuntut hak untuk membantah secara aman,” kata Leah Greenberg, pengasas bersama organisasi progresif Indivisible, dalam satu kenyataan kepada media.
Menurut laporan Al Jazeera, suasana di sekitar Washington dipenuhi laungan slogan, sepanduk anti-autoritarian, serta persembahan seni jalanan yang mengangkat tema kebebasan bersuara dan hak pendatang.
Ramai peserta turut menyuarakan kebimbangan terhadap tindakan keras terhadap komuniti pendatang serta pemotongan bajet sektor pendidikan.
Gerakan ‘No Kings’ turut mengkritik penggunaan tentera dan agensi penguatkuasaan untuk menyokong operasi imigresen di bandar-bandar utama, yang menurut mereka, mencetuskan ketakutan dalam kalangan masyarakat dan melemahkan sistem undang-undang sivil.
Ramai penunjuk perasaan membawa sepanduk bertulis “Demokrasi, bukan Dinasti” dan “Rakyat yang memerintah”, sebagai mesej jelas bahawa mereka menolak sebarang bentuk kuasa berlebihan di tangan eksekutif.
Protes ini mencerminkan keresahan yang semakin ketara dalam kalangan rakyat Amerika terhadap perubahan dasar drastik oleh pentadbiran Trump yang dilihat semakin menjauh dari nilai-nilai demokratik dan prinsip keadilan sosial.
Penganjur menyatakan bahawa gerakan ini bukan sekadar satu perhimpunan, tetapi satu peringatan kepada pemerintah rakyat akan terus bersuara menentang ketidakadilan dan mempertahankan hak mereka di bawah Perlembagaan.






