Malaysia Oversight

5 remaja akan didakwa lusa

By MkiniBM in August 18, 2025 – Reading time 2 minute
5 remaja akan didakwa lusa


Peguam Negara Mohd Dusuki Mokhtar mengesahkan lima remaja bawah umur akan didakwa di Mahkamah Kanak-Kanak Kota Kinabalu pada Rabu ini berhubung kes buli membabitkan Zara Qairina Mahathir.

“Ya, mereka yang akan dituduh berumur bawah 18 tahun,” katanya kepada Bernama hari ini.

Menurut Mohd Dusuki, remaja terbabit akan didakwa di bawah Seksyen 507C (1) Kanun Keseksaan iaitu kesalahan menggunakan atau membuat apa-apa perkataan atau komunikasi yang mengancam, kesat atau menghina.

Terdahulu, dalam kenyataan dikeluarkan, Jabatan Peguam Negara (AGC) memaklumkan mereka telah meneliti kertas siasatan kes kematian pelajar tingkatan satu itu yang dirujuk oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Ekoran itu AGC memutuskan untuk menuduh beberapa suspek berdasarkan keterangan yang ada.

“Keputusan untuk menuduh suspek bagi kesalahan buli dibuat memandangkan pertuduhan tersebut tidak akan mengganggu proses inkues yang akan dijalankan,” kataya.

AGC memaklumkan tindakan menuduh suspek juga tidak akan menjejaskan siasatan yang masih dijalankan oleh PDRM.

Semasa sesi soal jawab di Dewan Rakyat hari ini, Menteri Dalam Negeri Saifuddin Nasution Ismail berkata siasatan kes tersebut melibatkan tiga elemen iaitu buli, pengabaian dan gangguan seksual.

Katanya kertas siasatan telah diserahkan kepada AGC selepas polis selesai mengambil keterangan daripada 195 saksi.

Sementara itu, Mahkamah Koroner Kota Kinabalu di Sabah menetapkan 3 Sept ini untuk memulakan prosiding inkues bagi menyiasat punca kematian Zara Qairina.

Koroner Azreena Aziz turut menetapkan 4 Sept, 8 hingga 12 Sept, 17 hingga 19 Sept serta 22 hingga 30 Sept depan untuk pendengaran inkues berkenaan.

Pada 12 Ogos lalu AGC memutuskan untuk menjalankan inkues bagi menentukan punca dan sebab kematian pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Agama Tun Datu Mustapha itu selepas meneliti laporan siasatan yang dikemukakan oleh PDRM.

Zara Qairina, 13, meninggal dunia di Hospital Queen Elizabeth I pada 17 Julai selepas ditemukan tidak sedarkan diri dalam longkang berhampiran asrama sekolah itu pada pagi 16 Julai.

Bernama



Source link