SEBAGAI selebriti pastinya setiap tindak tanduk menjadi perhatian dan bualan. Termasuklah imej suka menderma dan berbelanja terutama kepada yang memerlukan. Namun, dalam ribuan bintang pasti ada yang tercalar sinarnya paling tidak, sedikit.
Beberapa bintang Korea Selatan pernah mendapat julukan tangkai jering, ketam batu dan kedekut hanya kerana beberapa tindak tanduk mereka yang dilihat tidak bertepatan dengan ‘kehendak’ netizen.
Minggu ini, kita senaraikan lima artis Korea Selatan yang digelar si ketam batu!
Seo Jang Hoon
Bekas pemain bola keranjang yang kini bergelar personaliti televisyen ini juga tidak terlepas daripada kecaman kedekut.
Ketika pandemik, dia juga dikatakan hanya memberi potongan 10 peratus kepada penyewa hartanahnya.
Walaupun ada yang memuji langkah itu sebagai wajar dari sudut perniagaan, ramai netizen menyifatkan selebriti itu sebagai tangkai jering jika dibandingkan dengan rakan artis lain yang memberikan potongan lebih besar.
Kim Jong Kook
Penyanyi dan ahli rancangan Running Man, Kim Jong Kook pernah digelar kedekut oleh rakan-rakan selebriti sendiri.
Sama ada sekadar gurauan atau reaksi sebenar, gelaran itu seperti melekat dengan selebriti itu.
Dalam beberapa episod rancangan Running Man, Jong Kook sering diejek kerana terlalu berjimat, termasuk dalam satu episod apabila memeriksa harga hadiah yang diberi bekas kekasihnya.
Namun, pelakon itu menjelaskan dia hanya berhati-hati dalam soal kewangan. Dia berkata, langkah itu adalah sesuatu yang dianggap praktikal, bukan kedekut.
Yoo Yeon Seok
Pelakon drama Hospital Playlist ini pernah menjadi bualan hangat pada Mac 2025 selepas laporan mendedahkan dia dikenakan cukai tambahan berjumlah hampir RM24 juta.
Isu itu mencetuskan perdebatan di media sosial apabila segelintir netizen mendakwa dia terlalu berjaga-jaga dalam urusan kewangan dan tidak seaktif rakan artis lain dalam aktiviti amal.
Namun, itu sekadar dakwaan dan sehingga kini tiada bukti menunjukkan pelakon itu mengelak cukai atau kedekut. Semuanya hanya persepsi netizen!
Lee Kwang Soo
Seorang lagi bintang Running Man, Lee Kwang Soo juga mendapat julukan sama oleh ahli rancangan lain kerana sikap berkira dalam hal belanja makanan dan cenderamata.
Dalam satu episod, rakan selebriti lain bergurau dengan menyifatkan pelakon itu membawa beg besar penuh barangan kerana tidak mahu berbelanja mewah dan mahu berjimat selagi boleh.
Walaupun julukan itu hanya jenaka TV, namun julukan itu terus melekat hingga hari ini. Kaya raya pun kena berjimat!
Jun Ji Hyun
Aktres My Love From The Star ini pernah dikritik pada 2020 apabila ada dakwaan mendedahkan pelakon ini hanya memotong sekitar 10 peratus bayaran sewa untuk penyewa bangunannya di Gangnam ketika pandemik melanda.
Netizen mula mempersoalkan keputusan tersebut lantaran ramai selebriti lain ketika itu memilih untuk memberi potongan sehingga 50 peratus.
Namun, peminatnya tetap mempertahankan pelakon tersebut. Kalau sudah namanya kipas-susah-mati (die hard fans).






