Malaysia Oversight

5 anggota polis dalang sindiket curi kabel dicekup

By MkiniBM in May 27, 2025 – Reading time 2 minute
5 anggota polis dalang sindiket curi kabel dicekup


Lima anggota polis melibatkan dua berpangkat sarjan dan tiga koperal menjadi dalang kepada kegiatan mencuri kabel di sekitar Kuala Lumpur dan sejak setahun lalu.

Ketua Polis Hussein Omar Khan berkata mereka yang bertugas di ibu pejabat polis daerah atau balai di sekitar Kuala Lumpur dan itu antara 16 suspek yang ditahan terbabit dalam Sindiket Mulia.

Nama kumpulan itu dikatakan diambil sempena nama ketua mereka.

Kata Hussein, suspek lain berusia lingkungan 23 hingga 53 tahun dengan seorang daripada mereka wanita.

“Siasatan mendapati, mereka membocorkan beberapa informasi polis dari segi pencegahan jenayah dan sebagainya.

“Mereka (ahli sindiket) juga mendapat maklumat daripada anggota polis terbabit mengenai kawasan yang kurang rondaan,” katanya pada sidang media di Sepang hari ini.

Turut hadir Ketua Polis Daerah Sepang ACP Norhizam Bahaman.

Hussein berkata semua anggota polis itu ditahan reman sejak 23 Mei lalu bagi membantu siasatan selepas ditangkap di beberapa lokasi di Cheras dan Kajang sehari sebelumnya.

Menurutnya kegiatan sindiket itu turut dibantu ‘orang dalam’ iaitu masing-masing juruteknik dan pengawal keselamatan syarikat yang dilantik Telekom Malaysia Bhd (TM).

Dia berkata ‘orang dalam’ itu akan memberitahu anggota sindiket terbabit bahagian mana yang perlu dipotong bagi mengelakkan siren amaran berbunyi.

“Maksudnya dalam setiap kejadian curi kabel ini ada melibatkan orang dalam sendiri yang menunjukkan tempat-tempat mana yang mereka boleh curi, mudah potong sehinggakan mereka diajar tempat mereka perlu potong untuk mengelakkan alarm berbunyi.

“Jadi modus operandi mereka ialah selepas menerima maklumat mengenai kawasan-kawasan yang kabel mudah dicuri serta maklumat rondaan polis, mereka akan menjalankan kegiatan curi kabel,” katanya.

Hussein berkata kabel-kabel itu kemudian akan dibawa ke dalam sebuah ladang untuk dibakar bagi mendapatkan tembaga sebagai logam berharga dan dijual ke kedai besi buruk.

Menurutnya sindiket terbabit dipercayai bergiat aktif sejak setahun lalu dengan perancang mereka ialah dua lelaki yang masing-masing mempunyai 36 dan 29 kes jenayah lampau, termasuk kes dadah.

“Siasatan awal mendapati sindiket itu melakukan 23 transaksi penjualan kabel di kedai besi buruk di sekitar Semenyih, dengan anggaran jualan kira-kira RM683,000.

“Polis percaya sindiket curi kabel ini telah melakukan lebih daripada 23 kes kecurian,” katanya.

Hussein berkata antara barang yang dirampas polis dalam operasi tersebut termasuklah sebuah kereta pacuan empat roda jenis Toyota Hilux, sebuah Proton Perdana, sebuah lori Mitsubishi Fuso Canter bersama 1.2 tan besi dan kelengkapan memotong besi.

Katanya kes disiasat mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan, Seksyen 431A Kanun Keseksaan dan Seksyen 29(1) Akta Kesalahan Kecil 1955.

Dia juga berkata kes kecurian membabitkan kabel TM dan Tenaga Nasional Bhd (TNB) di Kuala Lumpur serta Selangor merupakan satu per tiga daripada jumlah keseluruhan kes di seluruh negara atau 208 kes bagi empat bulan pertama tahun ini.

“Bagi tempoh yang sama, sebanyak 649 kes kecurian kabel TM dan TNB direkodkan di seluruh negara,” katanya.

Bernama



Source link