Malaysia Oversight

42 peratus daripada 150 hektar kebakaran hutan di Punggai berjaya dipadam

By Utusan in March 24, 2026 – Reading time 2 minute


KOTA TINGGI: Seluas 63 hektar atau 42 peratus daripada keseluruhan 150 hektar kawasan kebakaran melibatkan hutan di Punggai, Pengerang di sini telah berjaya dipadamkan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Johor, setakat hari ini.

Komander Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Punggai, Pegawai Bomba Kanan I Alvinni Jackson berkata, operasi pemadaman kebakaran di kawasan berkenaan kini telah memasuki hari keempat.

Katanya, cabaran dihadapi adalah keadaan berisiko tinggi bertambah buruk ekoran keadaan cuaca yang panas dan kering selain angin bertiup kencang.

“Pada waktu ini, operasi pemadaman dibahagikan kepada dua divisyen, dimana divisyen A bertugas di sebelah kiri lebuh raya menggunakan aliran hos 800 kaki dan pam Godiva GP10/10 dengan sumber air dari takungan berhampiran.

“Manakala divisyen B pula di sebelah kanan lebuh raya menggunakan hos 1,200 kaki dan pam Godiva serta Tohatsu, selain turut mendapatkan bekalan air dari takungan berhampiran,” katanya dalam kenyataan, di sini hari ini.

Tambah beliau, selain JBPM, operasi tersebut turut dilaksanakan dengan bantuan beberapa agensi lain termasuklah Polis Diraja Malaysia (PDRM).

“Anggota polis dari Balai Polis Bayu Damai turut membantu menutup jalan bagi menghalang kenderaan memasuki kawasan kebakaran serta memastikan keselamatan orang ramai.

“Usaha pemadaman akan diteruskan sehingga api berjaya dikawal sepenuhnya. Sementara itu orang ramai diingatkan untuk mengelak daripada melalui kawasan berisiko,” katanya lanjut.-UTUSAN





Source link