Malaysia Oversight

4 rakyat Malaysia antara 79 ditahan dalam serbuan dadah di Singapura

By MkiniBM in August 12, 2025 – Reading time 2 minute
4 rakyat Malaysia antara 79 ditahan dalam serbuan dadah di Singapura


Empat rakyat Malaysia antara 79 individu yang disyaki terlibat dengan kesalahan dadah ditahan dalam operasi antidadah di seluruh Singapura dari 4 hingga 8 Ogos, dengan rampasan dadah dianggarkan bernilai lebih S$470,000 (S$1=RM3.30), menurut Biro Narkotik Pusat (CNB).

Agensi itu memaklumkan sejumlah 3,457 gram (g) heroin, 909g “Ice”, 3g ganja, lima biji pil “Ecstasy”, lima biji pil Erimin-5 dan sebotol GHB (gamma-hydroxybutyrate) dirampas dalam operasi lima hari itu.

CNB memaklumkan seorang lelaki warga Malaysia berumur 25 tahun ditahan di Pusat Pemeriksaan Woodlands pada 5 Ogos kerana cuba menyeludup dadah ke Singapura menggunakan kereta berdaftar Malaysia.

Pegawai daripada Penguasa Imigresen dan Pusat Pemeriksaan (ICA) mengarahkan kereta itu menjalani pemeriksaan rapi sebelum menemukan beberapa bungkusan biskut yang disyaki mengandungi dadah terkawal di tempat duduk penumpang belakang.

“Pegawai CNB segera dimaklumkan mengenai penemuan itu dan menjalankan pemeriksaan lanjut. Bungkusan biskut itu kemudiannya didapati mengandungi kira-kira 2,033g heroin dan 731g “Ice”,” menurut CNB dalam satu kenyataan pada Isnin.

Pada 6 Ogos, pegawai CNB menahan seorang lelaki warga Malaysia berumur 39 tahun dan seorang wanita Malaysia berumur 43 tahun, bersama seorang lelaki warga Singapura berusia 53 tahun, kerana disyaki melakukan kesalahan dadah susulan operasi di sekitar Jurong West dan Henderson Road.

Lelaki warga Malaysia itu didapati memiliki 60g “Ice” dan beberapa kad kunci sebuah hotel yang terletak di kawasan Geylang.

“Dengan kad kunci yang ditemui itu, pegawai CNB segera menyerbu bilik hotel berkenaan dan menemukan sejumlah 1,421g heroin, 62g “Ice” dan pelbagai peralatan dadah,” tambah agensi itu.

Menurut CNB, pada hari yang sama operasi kedua dilancarkan di sekitar Tampines, yang membawa kepada penahanan seorang lelaki warga Malaysia berumur 28 tahun.

Siasatan terhadap semua suspek yang ditahan masih dijalankan.

– Bernama



Source link