Malaysia Oversight

38 kenderaan mewah bernilai RM10 juta disita

By Utusan in August 21, 2025 – Reading time 2 minute
38 kenderaan mewah bernilai RM10 juta disita


BUKIT MERTAJAM : Sebanyak 38 buah kenderaan mewah yang dianggarkan bernilai RM10 juta disita dalam Ops Luxury Kenderaan Mewah oleh Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Pulau Pinang bermula Jun lalu.

Pengarah JPJ negeri, Zulkifly Ismail berkata, kenderaan yang disita itu terdiri daripada jenama terkenal seperti Rolls Royce, Mercedes Benz, Porsche, Volkswagen, Audi, Mini Cooper, BMW, Toyota Alphard dan Vellfire serta Great Wall.

Katanya, daripada semua kenderaan mewah itu, tiga daripadanya mencatatkan jumlah cukai jalan tahunan tertinggi adalah Rolls Royce Ghost V12 sebanyak RM54,502; diikuti oleh BMW 528i Limousine (RM2,120) dan Toyota Harrier dengan jumlah cukai jalan sebanyak RM2,115.

“Kebanyakan pemilik kenderaan ini pula memberikan alasan lupa (untuk memperbaharui cukai jalan) dan ada di antara mereka juga gagal untuk berbuat demikian sejak tahun 2023.

“Selain cukai jalan tamat tempoh yang disiasat di bawah Seksyen 23 Akta Pengangkutan Jalan (APJ), kesalahan lain yang dikesan ialah dari aspek tiada perlindungan insurans di bawah Seksyen 90 APJ,” katanya pada sidang akhbar di ibu pejabat JPJ negeri di Seberang Jaya, hari ini.

Zulkifly berkata, hasil siasatan mendapati, kebanyakan kenderaan yang disita itu adalah untuk kegunaan sendiri dan keluarga, namun, ada juga yang didaftarkan atas nama syarikat tertentu.

“Daripada keseluruhan rampasan ini, dianggarkan jumlah ketirisan hasil negara akibat daripada kegagalan pemilik kenderaan mewah ini membayar cukai jalan adalah sebanyak RM77,400.

“Justeru, JPJ akan terus melaksanakan operasi seperti ini daripada semasa ke semasa dan akan memastikan tiada siapa yang terkecuali daripada tindakan undang-undang (jika bersalah),” katanya yang memberitahu, pemeriksaan turut mendapati, ada dalam kalangan pemandu kenderaan tersebut tidak memiliki lesen memandu ketika ditahan.-UTUSAN





Source link