Malaysia Oversight

300 muka surat bukti terperinci bukan khabar angin

By MkiniBM in August 22, 2025 – Reading time 3 minute
300 muka surat bukti terperinci bukan khabar angin


Albert Tei, yang mendedahkan skandal perlombongan Sabah, mengeluarkan kenyataan tajam terhadap Perdana Menteri Ibrahim yang menanggapi keterangannya terhadap enam yang didakwa terlibat skandal itu sebagai khabar angin semata-mata.

Ahli perniagaan itu menolak dakwaan bahawa hanya video diserahkan kepada SPRM, dan sebaliknya menegaskan bahawa dia telah menyerahkan dokumen melebihi 300 muka surat.

“Bukan hanya video, tetapi jejak wang, rekod bank, dokumen, surat-menyurat bertulis dan lokasi tertentu. Setiap butiran disusun, disahkan secara silang dan diserahkan kepada pihak berkuasa.

“Saya juga menyerahkan telefon bimbit saya yang mengandungi perbualan WhatsApp dengan berkenaan kepada SPRM.

“Meremehkannya sebagai ‘hearsay’ (khabar angin) adalah tidak bertanggungjawab – ia adalah satu pengkhianatan,” katanya dalam satu kenyataan kepada Malaysiakini.

Menurut Tei, dokumen yang dikemukakan terhadap enam itu adalah sama dari segi format dan kekuatan dengan yang melibatkan dua Adun lain yang didakwa di mahkamah.

“Jadi kenapa pilih kasih? Mengapa dua didakwa manakala enam bebas? Adakah ini kerana pengaruh politik, survival parti, atau kronisme biasa?” soalnya.

Tei berkata kenyataan itu bukan sahaja “amat mengecewakan” tetapi merupakan “penghinaan langsung” kepadanya dan semua orang yang berani mendedahkan rasuah.

“Saya mempertaruhkan nyawa saya, masa depan saya, malah keselamatan keluarga saya untuk mengemukakan dokumen ini. Saya disuruh diam. Saya enggan. Kerana saya percaya pada seruan anda untuk Malaysia yang bersih. Anda merayu rakyat untuk berdiri bersama anda untuk pembaharuan. Saya berdiri. Dan sekarang? anda melemparkannya kembali ke muka saya, menolaknya sebagai lemah,” tambahnya.

Mengingatkan Anwar tentang slogan “reformasi”, Tei berkata undang-undang itu mestilah bebas daripada pilih kasih dan tidak diputar belit untuk kepentingan politik.

“Jika anda benar-benar percaya kepada Malaysia yang anda janjikan, maka buktikan. Bertindak atas bukti. Tuntut semua mereka. Tamatkan pilih kasih. Tamatkan kronisme. Kurang daripada itu adalah pengkhianatan terhadap reformasi yang anda bersumpah untuk tegakkan,” tegasnya.

Pada Selasa, Anwar memberitahu Dewan Rakyat bahawa SPRM hanya boleh mendakwa dua Adun – Andi Muhammad Suryady Bandy (Tanjung Batu) dan Yusof Yacob (Sindumin) – kerana dakwaan terhadap enam yang lain adalah khabar angin.

“Lapan (Adun) dikaitkan liputan video itu. Tapi apabila SPRM lihat, kes mesti kuat untuk didakwa. Saya tak campur tapi saya tanya kenapa dua (didakwa)?

“Itu alasan mereka. Mereka ambil kes yang substantive in facts and law untuk pendakwaan. Kalau tak substantive dengar dari video saja, tak boleh (dakwa di mahkamah),” kata Anwar semasa sesi soal jawab Perdana Menteri di parlimen.

Anwar berkata, daripada pengalamannya sendiri, rakaman dan video sahaja tidak memadai tanpa fakta yang menyokong dan alasan undang-undang.

“Menurut SPRM, mereka yang didakwa adalah mereka yang mereka yakin mempunyai alasan yang mencukupi.

“Yang lain hanya berdasarkan khabar angin, termasuk suara dalam video,” kata Anwar.

Selain dua Adun itu, Tei sendiri didakwa di mahkamah kerana menawarkan rasuah.

Sementara itu, bekas ketua pesuruhjaya SPRM Latheefa Koya turut membidas jawapan Anwar, menuduh kerajaannya “menutup sebelah mata” terhadap rasuah.

“Kita kini kembali ke titik lama; golongan reformis yang kononnya membawa pembaharuan kini bertindak sama seperti korup yang memerintah hingga 2018.

“Dakwaan Anwar bahawa bukti terhadap enam Adun lain hanya berdasarkan video semata-mata adalah jelas tidak benar.

“Tei telah menyerahkan dokumen setebal 300 muka surat terhadap mereka, selain daripada video. Ia bukan ‘video semata-mata’,” katanya.

Adun daripada gabungan pemerintah Gabungan Rakyat Sabah (GRS), yang merupakan sekutu Pakatan Harapan pimpinan Anwar, termasuk Timbalan Ketua Menteri Shahelmey Yahya, Menteri Kewangan Negeri Masidi Manjun, Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Negeri Arifin Arif, yang juga menantu Yang Dipertua Negeri Sabah Musa Aman, speaker dewan undangan negeri Kadzim Yahya antara yang dikaitkan dengan skandal itu.

Ahli politik lain ialah Masiung Banah (Kuamut), Rubin Balang (Kemabong) dan Arsad Bistari (Tempasuk).

Pada bulan Jun, enam lagi pemimpin tertinggi parti daripada GRS dikaitkan dalam skandal itu. Bagaimanapun, SPRM tidak mengulas mengenai pendedahan ini walaupun parti pembangkang di Sabah menggesa siasatan dijalankan.



Source link