LUMUT: Seramai 30 peserta Teluk Senangin Open Water Swim 2025 cedera akibat disengat ubur-ubur dalam kejadian di Pantai Teluk Senangin, di sini hari ini.
Pengerusi Jawatankuasa Sumber Manusia, Kesihatan, Hal Ehwal Masyarakat India dan Integrasi Nasional Perak, A. Sivanesan berkata, kesemua mangsa lelaki berusia 11 hingga 15 tahun itu bagaimanapun mengalami kecederaan ringan dan dilaporkan dalam keadaan stabil.
Katanya, tiga orang awam yang turut disengat ubur-ubur pula dirujuk ke Hospital Seri Manjung untuk rawatan.
“Kebanyakan mangsa mengalami kesan sengatan ringan seperti kemerahan. Kesemua mereka telah discaj pada hari sama selepas disahkan stabil.
“Tiada kes dimasukkan ke unit rawatan rapi (ICU) dan tiada kematian dilaporkan. Keadaan semua terkawal,” katanya di sini hari ini.
Menurut Sivanesan, kejadian itu dilaporkan berlaku antara pukul 9 pagi hingga 11 pagi ketika acara renang terbuka berlangsung yang melibatkan seramai 225 peserta.
Katanya, pasukan perubatan dari Hospital Seri Manjung dan Klinik Kesihatan Pantai Remis segera digerakkan ke lokasi sebaik menerima maklumat berhubung kejadian.
“Turut membantu ialah pasukan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) yang telah bersedia di lokasi sejak awal program.
“Dua pasukan terdiri daripada enam petugas jabatan kecemasan hospital dan lima dari klinik kesihatan telah memberikan rawatan awal dan memantau keadaan kesemua mangsa,” katanya.
Sementara itu, Pengarah program, Saiful Nizam Kamal Arifin ketika dihubungi berkata, kehadiran ubur-ubur merupakan cabaran semula jadi yang lazim dalam acara renang laut terbuka dan telah ditangani secara profesional.
“Saya sendiri sudah lebih 20 tahun dalam bidang ini dan serangan ubur-ubur bukan perkara luar biasa. Apa yang penting adalah pasukan perubatan sentiasa bersedia dan semua peserta mendapat rawatan sewajarnya,” katanya.
Dalam pada itu, beliau mengesahkan, kesemua peserta berjaya menamatkan perlumbaan termasuk anakanda Sultan Perak, Raja Kecil Besar Perak, Raja Datuk Seri Azlan Muzaffar Shah.
Raja Azlan menyertai kategori remaja lelaki (12–19 tahun) dengan jarak renangan sejauh tiga kilometer. – UTUSAN