Malaysia Oversight

3 bulan jutawan, dalang kini tauke nasi kandar

By MkiniBM in November 6, 2025 – Reading time 4 minute
3 bulan jutawan, dalang kini tauke nasi kandar


Satu pasangan suami isteri dikatakan pemain utama dalam sindiket counter setting yang menyeludup warga asing ke Malaysia.

Mereka, yang ditahan di lapangan terbang KLIA dan bulan lalu dikesan mempunyai  RM1.5 juta dalam akaun peribadi dan keluarga serta barang kemas bernilai RM1.4 juta untuk perniagaan kedai emas.

Bagaimanapun, pasangan itu dikatakan turut terlibat dalam sindiket lain yang nilainya jauh lebih besar, berkaitan program Rekalibrasi Tenaga Kerja (RTK).

Apa itu RTK?

RTK adalah program khas Jabatan Imigresen (JIM) bagi memberi peluang kepada majikan untuk menghalalkan warga asing yang tinggal lebih masa serta pekerja tiada permit.

RTK1.0 mula dilaksanakan pada 28 Disember 2020 lalu sebagai program khas meregulasikan pendatang asing tanpa izin (Pati).

RTK2.0 pula diperkenalkan pada 27 Januari 2023 sehingga 31 Disember 2023. 

RTK2.0 ditambah baik dengan kawalan lebih ketat, serta menutup ruang penyalahgunaan seperti kes melibatkan pekerja yang lari dari majikan asal.

d676d4fce3ab343f5e06571699db45b4

Menurut laporan media dalam tempoh tujuh bulan pertama pelaksanaan RTK2.0 sahaja, seramai 720,099 Pati mendaftar, membabitkan 51,753 majikan.

Bayaran fi rekalibrasi untuk RTK 2.0 adalah RM1,500 untuk setiap pekerja, manakala kos levi pula antara RM640 ke RM1,850 mengikut sektor, bersama dengan bayaran RM60 dan proses RM125.

Namun, siasatan Malaysiakini mendapati ada pihak mengaut beratus juta melalui program ini.

Beberapa ejen tempatan dan warga asing mendedahkan mereka membayar tambahan RM3,000 kepada pegawai imigresen untuk setiap permohonan.

Jumlah itu, dakwa mereka, adalah pakej lengkap sehingga mendapat kelulusan.

“Kalau nak buat asing (tanpa pakej) pun boleh.

“Tertakluk kepada perkhidmatan apa yang kita minta. Katakan, untuk cap jari sahaja dikenakan RM600. Ada urusan-urusan lain dengan bayaran tertentu.

“Daripada mendapat token (nombor giliran), proses masukan data, proses kelulusan, pelekat ( lawatan kerja sementara) semua ada bayaran masing-masing,” kata seorang ejen tempatan yang enggan namanya didedahkan.

Tambahnya, dia dan rakan-rakan ejen ‘membantu’ mendapatkan kelulusan kepada hampir 15,000 orang Pati dengan bayaran antara RM2,000 hingga RM7,000 setiap seorang.

5ad9375e262b6897a4ed60626305fde3

Satu lagi ejen warga asing berkata mereka mengenakan bayaran bermula dari harga RM3,000 untuk majikan yang tiada rekod senarai hitam.

“Maksud saya, katakan majikan itu pernah ada blacklist. Maka, bayarannya untuk mendapat kelulusan lebih mahal,” katanya.

“Satu lagi perkara, RTK2.0 ini hanya untuk Pati yang masuk ke Malaysia sebelum Disember 2022. 

“Jadi, katakan ada Pati yang masuk pada 2023 dan masih ingin menyertai dalam program RTK2.0 kena bayaran tambahan RM1,500 untuk backdated (undur) tarikh kemasukan dia ke negara ini,” katanya.

Bagaimanapun, timbul persoalan kenapa khidmat ejen diperlukan, termasuk oleh majikan mempunyai rekod bersih?

Sumber mendakwa prosesnya tidak semudah itu.

Dakwanya, pada kebanyakan masa pegawai kaunter akan memberikan pelbagai alasan untuk memaksa majikan mencari ejen untuk mendapatkan kelulusan.

6d8881614387c918095d2a98a02bcf29

RTK lebih lumayan berbanding ‘counter settings’

Sementara itu, seorang lagi ejen berasal dari Bangladesh berkata sindiket RTK lebih lumayan berbanding counter settings dan fly (penipuan rekod keluar masuk).

Katanya, bayaran dikenakan lebih mahal berbanding sindiket lain kerana tempoh masa program itu terhad, selain ia menjadi peluang keemasan bagi warga asing “membersihkan” diri setelah sekian lama bergerak secara haram.

Ketika ditanya apakah anggaran masa untuk mengumpulkan RM1 juta melalui sindiket-sindiket ini, dia membalas sindiket menjual kuota pekerja asing paling cepat.

“Untuk RM1 juta, saya mungkin perlu satu tahun kalau saya buat counter settings. Kalau RTK dalam tiga bulan boleh. Tapi, kalau kuota pekerja asing satu bulan pun sudah cukup.

“Tapi, kamu kenal siapa di dan dibantu oleh siapa, itu yang penting,” kata ejen itu yang kini pulang ke Bangladesh selepas ‘insaf’ ditahan JIM kerana terlibat sindiket kuota pekerja asing.

c556c127d495fc58de0fa7ec44a24e06

3 kedai nasi kandar

Dia juga mengesahkan mengenali pasangan yang ditahan SPRM, seperti disebut Malaysiakini dalam permulaan laporan ini.

Kedua-dua pasangan itu, tambahnya, berkhidmat di Lembah Klang.

“Tapi, saya tak pernah buat projek dengan mereka.

“Tapi, bila saya baca berita mereka ada kedai emas, saya sudah tahu, mereka ini terlibat dalam sindiket RTK.

“Buka kedai emas itu, perlu ada banyak duit. Susah kalau buat counter settings sahaja. Kalau RTK boleh,” katanya sambil menambah pasangan itu bukan ‘pemain utama’ dalam sindiket RTK.

SPRM turut mendedahkan isu kedai emas dan barang kemas itu pada 13 Sept 2025.

Sementara itu, ejen dari luar negara itu mendedahkan pemain paling besar bukanlah mereka tetapi dua pegawai imigresen lain.

Namun, dia enggan mengulas lanjut mengenai mereka yang didakwa mempunyai pengaruh besar dalam kalangan beberapa agensi penguatkuasaan.

Sementara itu, seorang bekas pegawai imigresen yang sudah bersara turut berkongsi maklumat sama.

Dakwanya, dia mengenali lelaki 50-an itu secara peribadi ketika bertugas di sebuah pejabat imigresen di Kuala Lumpur.

Katanya salah seorang dari mereka pernah ditahan SPRM kesalahan pemalsuan dokumen, tetapi kemudian kembali bekerja di imigresen.

Katanya, salah seorang dari mereka mempunyai kelebihan kerana ditugaskan untuk mengendalikan program RTK.

“Mereka buat banyak duit. Sangat banyak. Berjuta-juta. Lepas program RTK tamat, mereka kembali ke bahagian masing-masing,” katanya.

Dakwanya, salah seorang daripada mereka membuat wang kira-kira RM3 juta dan melaburkannya dalam tiga restoran nasi kandar di Lembah Klang.

Dia kini memohon persaraan sukarela.

Sementara itu, seorang lagi pegawai masih berkhidmat di dengan imigresen.

“Boleh katakan, dia ini ketua kartel bila melibatkan warga asing,” kata sumber itu.

Malaysiakini telah menghubungi JIM dan SPRM lebih dua minggu dan masih menunggu untuk mendapatkan ulasan.



Source link