Satu laporan polis dibuat ke atas 33 warga Bangladesh termasuk tiga bekas ahli parlimen negara itu selepas didakwa terlibat dalam pengubahan wang haram yang berkaitan sindiket tenaga kerja ke Malaysia.
Laporan polis itu dibuat oleh Mohammad Moniruzzaman, seorang pegawai daripada Bahagian Jenayah Kewangan Jabatan Siasatan Jenayah (CID) polis Bangladesh di Balai Polis Banani, Dhaka, semalam.
“Berdasarkan siasatan dalaman sebelum ini, CID Bangladesh mendapati sekurang-kurangnya 33 individu yang didakwa terlibat dalam jaringan pemerdagangan manusia, turut terlibat dalam pengubahan wang haram melibatkan lebih daripada Tk. 175 crore (RM60.5 juta).
“Berdasarkan bukti dan maklumat yang jelas, kes di bawah Akta Pengubahan Wang Haram telah difailkan terhadap mereka di Balai Polis Banani, Dhaka.
“Kes tersebut telah didaftarkan sebagai kes No 35, bertarikh 28 Ogos 2025,” kata sumber CID Bangladesh kepada Malaysiakini sambil menambah proses memfailkan kes tambahan terhadap anggota lain dalam sindiket ini masih sedang berjalan.
Katanya, pengubahan wang haram ini berlaku antara 18 Ogos 2016 hingga 30 Mei 2024 di pejabat agensi pengambilan pekerja Five M International Ltd beralamat Shikder Plaza, Chairmanbari, Banani, Dhaka, Bangladesh.
Agensi itu milik bekas ahli parlimen (Feni 3) Jeneral Masud Uddin Chowdhury dan keluarganya turut disiasat.
Selain Masud antara nama besar dilapor adalah dua bekas ahli parlimen Benjir Ahmed dan Nizam Uddin Hazari serta Kashmiri Kamal – isteri bekas menteri kewangan AHM Mustafa Kamal.
Turut dilaporkan, isteri Masud, Jasmine Masud, anaknya Tasnia Masud, dan ahli perniagaan Md. Ruhul Amin (Swapan) turut disiasat.
Pada Mac dan April tahun ini, Mahkamah Sesyen Metropolitan Dhaka membenarkan permohonan Bahagian Jenayah Kewangan CID Bangladesh untuk membuat sitaan aset keluarga Kamal yang lebih dikenali sebagai ‘Lotus’ Kamal dan Masud Uddin.
Pengadu desak Siasatan semula
Menurut dokumen dilihat Malaysiakini, CID negara itu telah membekukan kira-kira RM2 juta dalam 37 akaun bank atas nama Masud Uddin, Kashmiri serta anak perempuannya Nafisa Kamal.
Terbaru, (CID) polis Bangladesh telah menyita kira-kira RM174 juta (Tk 5 bilion) aset milik Swapan, yang didakwa sebagai ketua sindiket yang menghantar tenaga kerja ke Malaysia.
Ketika dihubungi Malaysiakini, Ruhul Amin menafikan semua tuduhan ke atasnya.
“Ini adalah perkara yang mendesak mengenai rampasan harta kami secara salah oleh kerajaan. Walaupun pemilikan sah dan patuh kepada semua peraturan, aset kami telah dirampas secara tidak adil.
“Tiada sebarang penyelewengan atau aktiviti terlarang dijalankan sama sekali. Hartanah dirampas sebelum kes itu difailkan terhadap kami,” katanya.
Untuk rekod, pada bulan lepas CID Bangladesh menyerahkan laporan akhir kepada mahkamah Dhaka, berkenaan satu lagi siasatan kes pemerdagangan tenaga kerja berprofil tinggi melibatkan individu berpengaruh.
Pada 15 Julai, CID Bangladesh membebaskan seorang bekas menteri kebajikan ekspatriat, seorang bekas setiausaha, beberapa bekas ahli parlimen, dan lebih 100 agensi pekerja daripada dakwaan pemerdagangan manusia serta pengubahan wang haram berkaitan proses pengambilan pekerja atas arahan kerajaan Malaysia.
Bagaimanapun, pengadu utama dalam kes itu Altab Khan yang merupakan seorang ahli perniagaan mendesak kerajaan Bangladesh mengadakan siasatan semula.
Bulan lalu, Malaysiakini melaporkan Bangladesh setuju untuk menghentikan siasatan terhadap dakwaan sindiket mengeksploitasi warganya yang ingin bekerja di Malaysia.
Menurut seorang pegawai tempatan yang enggan dikenali, keputusan itu dibuat semasa mesyuarat di Kuala Lumpur pada 17 Julai antara wakil kerajaan Bangladesh dan Kementerian Sumber Manusia Malaysia (Kesuma).
Malaysiakini dimaklumkan mesyuarat itu diadakan selepas kerajaan Malaysia menghantar surat kepada Bangladesh bagi menggesa siasatan dihentikan atas alasan ia tidak berasas.
Kesuma menafikan mengadakan perjumpaan rasmi dengan wakil Bangladesh namun tidak mengulas berkenaan surat kementerian itu kepada Bangladesh.
Sindiket ini didakwa melibatkan 101 ejen merekrut kira-kira 480,000 pekerja Bangladesh ke Malaysia. Pengambilan itu digantung pada 31 Mei tahun lalu, tetapi sindiket itu didakwa melakukan penyelewengan besar-besaran termasuk mengenakan kos tinggi.
Beribu-ribu pekerja didakwa kekal menganggur, bergaji rendah atau tidak bergaji serta menjadi warga asing tanpa berdokumen perjalanan sah.