Malaysia Oversight

230 murid, 38 sekolah terkesan banjir di Sabah

By MkiniBM in September 18, 2025 – Reading time 1 minute
230 murid, 38 sekolah terkesan banjir di Sabah


Sebanyak 230 murid daripada 38 sekolah dikenal pasti terkesan dengan kejadian banjir di Sabah setakat ini, kata Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek.

Beliau berkata susulan itu, pihaknya sedang mempertimbangkan pelaksanaan Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) jika keadaan banjir tidak menunjukkan perkembangan positif menjelang pembukaan semula sekolah pada minggu hadapan.

“Ketika ini persiapan kita adalah kepada pembersihan sekolah untuk persiapan pembukaan sesi persekolahan minggu hadapan.

“Kita juga melihat kepada akses pendidikan dapat dilaksanakan di Sabah ini walaupun dalam keadaan cuaca tidak menentu,” katanya kepada pemberita selepas sesi Town Hall Antibuli Peringkat Negeri di Shah Alam hari ini.

Fadhlina berkata walaupun pendidikan masih jadi keutamaan, pihaknya tetap mengutamakan keselamatan murid dan warga pendidik secara keseluruhan.

Terdahulu, media melaporkan situasi banjir di Sabah bertambah buruk dengan peningkatan jumlah mangsa yang berlindung di pusat pemindahan sementara (PPS) pagi ini.

Jumlah mangsa meningkat kepada 3,134 orang daripada 916 keluarga berbanding 2,919 orang daripada 814 keluarga petang semalam.

Menurut kenyataan Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sabah hari ini, kesemua mangsa ditempatkan di 27 PPS melibatkan enam daerah, iaitu Beaufort, Membakut, Penampang, Papar, Putatan dan Sipitang.

– Bernama



Source link