Seramai 23 rakyat Malaysia yang terlibat sebagai delegasi Global Sumud Flotila (GSF) dan berada dalam tahanan rejim Zionis sejak Khamis lalu akan dibawa keluar dari Israel hari ini menggunakan sebuah pesawat khas ke Istanbul, Turkiye.
Perdana Menteri Anwar Ibrahim berkata semua 23 rakyat Malaysia itu sedang dalam perjalanan menuju ke Lapangan Terbang Ramon di Selatan Israel.
“Dengan rundingan saya bersama pihak Ketua Risikan Malaysia yang berada di Ankara untuk penyelarasan bersama Duta Besar dan Kedutaan Malaysia di Ankara, lebih baik mereka menginap di Istanbul sekitar satu, satu setengah hari untuk pemeriksaan kesihatan akibat trauma dan tekanan daripada tindakan keras dan zalim Israel.
“Saya setuju dan mereka akan berlepas pulang (ke Malaysia) mungkin esok malam ataupun lusa,” katanya dalam siaran langsung di Facebook hari ini.
Anwar yang juga penaung misi Sumud Nusantara menegaskan kejayaan membebaskan dan membawa pulang 23 rakyat Malaysia terbabit daripada tahanan rejim Zionis adalah hasil rundingan diplomatik yang panjang.
Katanya proses pembebasan tersebut melibatkan koordinasi erat pada peringkat antarabangsa termasuk melalui perbincangan oleh Menteri Luar Mohamad Hasan dengan Setiausaha Negara AS Marco Rubio dan kerajaan Jordan, serta Menteri Dalam Negeri Saifuddin Nasution Ismail bersama Utusan Khas AS ke Timur Tengah Steve Witkoff.
Perdana Menteri berkata kejayaan itu juga adalah hasil rundingan dia bersama Emir Qatar Sheikh Tamim Hamad Al Thani; Perdana Menteri Qatar Sheikh Mohammed Abdulrahman Al Thani; serta Presiden Turkiye Recep Tayyip Erdogan dan Ketua Keselamatan Negara Turkiye Dr Ibrahim Kalin.
Anwar berkata perancangan dan rundingan membawa pulang serta menyelamatkan semua mangsa tidak hanya terbatas kepada keselamatan delegasi daripada Malaysia dan Turkiye sahaja.
“Kita juga bicara tentang semua, termasuk Eropah dan rakan-rakan Indonesia dan negara lain yang bersama-sama dalam rombongan Sumud Flotila ini,” katanya.
– Bernama






