GLOBAL | Sekurang-kurangnya 221 orang terkorban dan 592 lagi cedera di seluruh Pakistan selepas hujan monsun lebat mencetuskan banjir kilat dan insiden berkaitan hujan sejak akhir Jun, menurut pihak berkuasa pengurusan bencana negara itu, lapor Xinhua.
Dalam laporan situasi terkininya pada Isnin, Pihak Berkuasa Pengurusan Bencana Kebangsaan (NDMA) memaklumkan angka korban dicatatkan antara 26 Jun hingga 21 Julai, dengan lima kematian dan 10 kecederaan baru dilaporkan dalam tempoh 24 jam lalu.
Wilayah timur Punjab merupakan kawasan paling terjejas, dengan 135 kematian dan 470 cedera.
Di wilayah barat laut Khyber Pakhtunkhwa, 46 orang maut dan 69 lagi cedera.
Di wilayah selatan Sindh, 22 kematian dan 40 kecederaan direkodkan, manakala wilayah barat daya Balochistan mencatatkan 16 kematian dan empat kecederaan.
NDMA mengesahkan tiada kematian di Gilgit-Baltistan di utara, namun tiga orang cedera.
Kashmir yang ditadbir Pakistan melaporkan satu kematian dan enam kecederaan, manakala seorang kanak-kanak cedera di wilayah ibu negeri Islamabad.
Pihak berkuasa mengeluarkan amaran banjir dan sedang bekerjasama dengan kerajaan wilayah untuk melaksanakan operasi bantuan serta memantau kawasan berisiko susulan hujan yang masih berterusan.
– Bernama-Xinhua