GENEVA: Pertambahan suhu luar biasa di seluruh dunia menjadikan tahun 2025 berada pada landasan untuk menjadi antara tahun paling panas dalam sejarah, menurut Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) semalam.
Namun, agensi itu menegaskan trend pemanasan global itu masih boleh dibalikkan jika tindakan segera diambil.
Dalam laporan terbaharu, Pertubuhan Meteorologi Dunia (WMO) menyatakan walaupun tahun ini tidak akan mengatasi 2024 sebagai tahun paling panas direkodkan, 2025 dijangka berada di tangga kedua atau ketiga dalam senarai tersebut, menandakan lebih sedekad suhu global luar biasa tinggi.
WMO turut memberi amaran kepekatan gas rumah hijau kini berada pada tahap tertinggi dalam sejarah, sekali gus memerangkap lebih banyak haba untuk masa depan.
Laporan itu dikeluarkan ketika puluhan pemimpin dunia berkumpul di Amazon, Brazil menjelang Sidang Kemuncak Iklim PBB (COP30) minggu depan.
Perkembangan ini, menurut Ketua WMO, Celeste Saulo, bermakna “hampir mustahil untuk menghadkan pemanasan global kepada 1.5 darjah Celsius dalam beberapa tahun akan datang tanpa terlebih dahulu melepasi sasaran Perjanjian Paris.”
Perjanjian iklim Paris 2015 menetapkan matlamat mengehadkan peningkatan suhu global kepada bawah 2 darjah Celsius berbanding era pra-industri, dan jika boleh, 1.5 darjah.
Walaupun situasi kini membimbangkan, Saulo menegaskan sains menunjukkan masih ada peluang untuk menurunkan suhu global kembali ke paras 1.5 darjah Celsius menjelang akhir abad ini.
Ketua Setiausaha PBB, Antonio Guterres, menyifatkan kegagalan dunia mencapai sasaran suhu itu sebagai “kegagalan moral.”
Sementara itu, Ketua Sains Iklim WMO, Chris Hewitt, menegaskan tempoh dunia akan kekal melebihi 1.5 darjah masih belum pasti dan bergantung kepada keputusan dasar yang dibuat sekarang, menjadikan COP30 sebagai platform penting menentukan hala tuju tindakan global.
Menurut WMO, kesemua tahun antara 2015 hingga 2025 merupakan tahun paling panas sejak pemerhatian suhu bermula 176 tahun lalu, dengan 2023, 2024 dan 2025 mencatatkan suhu tertinggi.
Laporan itu turut merekodkan suhu purata permukaan bumi pada lapan bulan pertama tahun ini adalah 1.42 darjah Celsius lebih tinggi daripada paras pra-industri.
Selain itu, WMO melaporkan tahap ais laut Artik selepas musim sejuk tahun ini adalah yang paling rendah pernah direkodkan, manakala ais laut Antartika kekal jauh di bawah purata.
Agensi itu turut menekankan peningkatan kejadian cuaca ekstrem seperti banjir besar, gelombang haba dan kebakaran hutan yang memberi kesan berantai terhadap kehidupan, ekonomi dan sistem makanan global.






