PETALING JAYA: Sebanyak 200,000 Kotak SARA Rahmah disasarkan untuk dikumpul bermula 31 Ogos ini hingga hujung tahun sebagai usaha membantu golongan memerlukan di seluruh negara.
Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Datuk Dr Fuziah Salleh berkata misi mengumpul kotak berkenaan dilancarkan oleh pasar raya Mydin Mohamed Holdings Berhad (MYDIN) seluruh negara.
“Inisiatif ini membawa agenda Ihsan Kerajaan MADANI di mana setiap rakyat berhak merasai kasih sayang, solidariti, dan sokongan tanpa mengira latar belakang.”
“Kotak ini bukan sekadar mengandungi barangan asas tetapi merupakan simbolik kepada harapan dan kasih sayang,“ katanya kepada pemberita selepas melancarkan Program Kotak SARA Rahmah di MYDIN Subang Jaya di sini hari ini.
Fuziah berkata usaha mengumpul 200,000 Kotak SARA Rahmah yang dilancarkan oleh MYDIN akan diperhebatkan dengan siri penjelajahan ke kementerian, agensi kerajaan serta institusi swasta bermula 2 Sept bagi menggalakkan lebih banyak pihak untuk membeli dan menyumbang kotak tersebut.
“KPDN dan MYDIN turut mewujudkan pakej Bakul Rahmah yang disesuaikan mengikut kumpulan sasaran seperti keluarga B40, warga emas, dan mahasiswa bertujuan untuk memastikan bantuan lebih bersasar dan inklusif,” katanya.
Sementara itu, Pengarah Urusan Mydin Datuk Dr Ameer Ali Mydin berkata orang ramai boleh datang ke semua cawangan MYDIN di seluruh negara untuk membeli Kotak SARA Rahmah bermula 31 Ogos ini.
Beliau berkata pelancaran Kotak SARA Rahmah itu selaras dengan usaha kerajaan melalui inisiatif ‘SARA Untuk Semua’, iaitu pelanggan daripada golongan T20 yang tidak memerlukan bantuan RM100 yang diberikan menerusi MYKad boleh menyalurkan sumbangan dengan membeli kotak berkenaan.
Kotak SARA Rahmah yang ditawarkan pada harga RM100 setiap satu mengandungi produk keluaran perusahaan mikro, kecil, dan sederhana (PMKS) tempatan selaras dengan aspirasi Kempen Beli Barangan Malaysia (KBBM) yang digerakkan oleh KPDN. – Bernama