Malaysia Oversight

2 pembantu kesihatan awam direman di P Pinang

By MkiniBM in May 8, 2025 – Reading time 1 minute
2 pembantu kesihatan awam direman di P Pinang


Dua pembantu kesihatan awam di sebuah pihak berkuasa tempatan (PBT) di Pulau Pinang direman tiga hari bermula hari ini kerana disyaki menerima rasuah lebih RM50,000 pada tahun lalu.

Perintah reman terhadap lelaki berusia 30-an dan 60-an itu dikeluarkan hakim Juraidah Abbas di Mahkamah Sesyen George Town selepas membenarkan permohonan dibuat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Pulau Pinang.

Kedua-dua suspek ditahan kira-kira jam 2.30 petang semalam semasa hadir memberi keterangan di pejabat SPRM negeri.

Menurut sumber, mereka dipercayai meminta dan menerima rasuah kira-kira RM54,000 daripada seorang kontraktor lelaki pada Jan 2024.

“Ia sebagai balasan mendapatkan beberapa lesen penjaja sementara bagi gerai jualan sempena Tahun Baru Cina 2024 di sekitar Pulau Pinang,” katanya.

Pengarah SPRM Pulau Pinang Mohd Fuad Bee Basrah ketika dihubungi mengesahkan tangkapan dua suspek itu bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 16(a)(B) Akta SPRM 2009.

Bernama



Source link