Mahkamah Khas Rasuah Kota Kinabalu membenarkan dua anggota Dewan Undangan Negeri (Adun), Yusof Yaacob (Sindumin) dan Andi Muhammad Suryady Bandy (Tanjung Batu), mengambil pasport buat sementara waktu untuk perjalanan ke luar negara.
Mereka yang sedang dibicarakan atas tuduhan menerima rasuah berjumlah RM350,000, memohon pasport dikembalikan selama empat bulan, dengan alasan komitmen kerja sebagai Adun dan, dalam kes Yusof, peranannya dalam syarikat berkaitan kerajaan.
Yusof ialah pengerusi Qhazanah Sabah Bhd, manakala Andi ialah pembantu menteri negeri.
Hakim Jason Juga membenarkan permohonan itu dengan syarat mereka memaklumkan pegawai penyiasat mengenai rancangan perjalanan mereka.
“Tertuduh akan mendapat pasport mereka dikembalikan pada atau sebelum 23 Januari 2026,” katanya.
Dalam permohonan berasingan, Juga menolak permohonan untuk perintah larangan bersuara.
“Saya tidak akan memberikan sebarang perintah selagi ia tidak menjejaskan proses perbicaraan ini,” kata Juga.
Ketika membuat permohonan itu, peguam Yusof dan Andi, Ram Singh, berhujah bahawa kenyataan yang dibuat selepas perbicaraan sebelum ini, serta sidang media yang dirancang oleh timbalan pendakwa raya Albert Chin, berisiko memalukan tertuduh dan prejudis tergadap prosiding.
Hakim menetapkan 21 Oktober untuk sebutan semula kes bagi kedua-dua ahli politik itu.
Tei disekat ke Sabah
Sementara itu, mahkamah hari ini turut mendengar tentang tindakan Jabatan Imigresen Sabah menyekat kemasukan ahli perniagaan Albert Tei – yang dituduh memberi rasuah kepada Yusof dan Andi.
Peguam Tei, Edward Paul, memberitahu mahkamah bahawa anak guamnya dihalang memasuki Sabah sejak Ogos dan hanya dibenarkan masuk pada Isnin untuk hadir ke mahkamah.
“Sekatan ini menjejaskan haknya untuk mendapatkan pembelaan yang wajar. Dia perlu datang ke Sabah bukan sahaja untuk tarikh perbicaraan tetapi juga untuk berunding dengan kami sebagai peguamnya sebagai persediaan untuk kesnya,” katanya.
Paul juga memohon penjelasan daripada pihak pendakwaan sama ada kemasukan terhad Tei hanya untuk menghadiri perbicaraan atau juga boleh dilanjutkan ke pertemuan praperbicaraan dengan peguam.
Timbalan Pendakwa Raya Rustam Sanip menjawab bahawa walaupun sekatan itu di luar kawalan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), pihak pendakwaan bersedia untuk berhubung dengan agensi berkaitan untuk memudahkan akses undang-undang Tei ke Sabah.
Juga menetapkan 24 Oktober untuk sebutan semula kes Tei.
Pada 30 Jun, Yusof, 69, Andi, 44, dan Tei, 37, dituduh bersama di Mahkamah Rasuah di situ berhubung dakwaan bayaran tunai berkaitan permohonan lesen cari gali mineral.
Menurut kertas pertuduhan, Yusof didakwa menerima RM200,000 secara tunai daripada Tei di sebuah hotel di Kota Kinabalu pada 6 Mac 2023, manakala Andi dituduh menerima RM150,000 secara tunai daripada Tei pada 12 Mei 2023, di luar kediamannya.
Tei menghadapi pertuduhan menawarkan rasuah kepada kedua-dua Adun itu bawah Seksyen 16(b)(A) Akta SPRM 2009.
Ketiga-tiga mereka mengaku tidak bersalah. Jika sabit kesalahan, mereka boleh dihukum penjara sehingga 20 tahun dan denda tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah rasuah atau RM10,000, yang mana lebih tinggi.
Kes itu dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya Rustam, manakala Yusof dan Andi diwakili oleh Ram Singh dan pasukannya. Tei diwakili oleh Edward Paul, Bartholomew Jingulam dan Jul Hamri Junhani.