Plus Malaysia Bhd (PLUS) menjangkakan peningkatan trafik sehingga 2.2 juta kenderaan sehari di rangkaian lebuh rayanya pada esok dan 1 Sept ini sempena sambutan Hari Kebangsaan ke-68.
Sehubungan itu, Plus dalam kenyataannya menasihatkan pengguna lebuh raya supaya merancang perjalanan masing-masing lebih awal untuk menikmati perjalanan yang lancar dan selesa.
Menurut pengendali lebuh raya itu, MyPlus-TTA dalam aplikasi Plus telah ditambah baik bagi memudahkan pengguna merancang perjalanan bagi hari-hari puncak di luar musim perayaan di Lebuhraya Plus dan Lebuh Raya Pantai Timur 2 (LPT2).
Syarikat itu memaklumkan aplikasi berkenaan kini memperkenalkan ciri baru iaitu fungsi Laluan Kegemaran untuk akses lebih pantas dan menampilkan paparan amaran masa nyata terus pada halaman hasil carian, sekali gus memberikan maklumat segera mengenai keadaan trafik semasa.
“Selain itu, fungsi carian turut dipertingkatkan dengan pilihan ‘menu ke bawah’ menggantikan kaedah menatal sebelum ini bagi memudahkan pemilihan laluan lebih cepat dan mesra pengguna,” katanya.
Menurut Plus lagi, tidak seperti musim perayaan sebelum ini yang tarikh perjalanan ditetapkan lebih awal, mereka akan terus memantau aliran trafik harian dan mengemas kini nasihat tempoh puncak secara berterusan.
Katanya langkah itu diambil bagi memastikan pengguna menerima panduan perjalanan yang paling relevan secara masa nyata.
Sementara itu, bagi menyemarakkan semangat patriotisme sempena Bulan Kebangsaan, Plus memaklumkan, mereka antara lain menghias lebih 21 kawasan rehat dan rawat serta hentian sebelah mengikut tema sambutan tahun ini iaitu Malaysia Madani: Rakyat Disantuni.
Selain itu, kata Plus, mereka juga memaparkan mesej sambutan dalam bentuk digital di lebuh raya sehingga 16 Sept ini.
Selain itu, Plus turut menganjurkan peraduan #TerokaMalaysiaBersamaPlus dengan kerjasama Tourism Malaysia menerusi platform TikTok yang menawarkan hadiah keseluruhan lebih RM15,000 seperti Canon G7x Mark II, DJI Osmo Pocket 3, Insta360 Go 3S dan kredit eWallet Touch ‘n Go bernilai RM200 setiap satu.
“Pengguna hanya perlu memuat turun aplikasi Plus dan menggunakan fungsi Plus Passport.
“Peraduan ini berlangsung sehingga 16 Sept 2025,” katanya.
– Bernama