Malaysia Oversight

19 mangsa keganasan rumah tangga tiap hari membimbangkan 

By MkiniBM in May 6, 2025 – Reading time 2 minute
19 mangsa keganasan rumah tangga tiap hari membimbangkan 


Wanita MCA menggesa melaksanakan reformasi menyeluruh terhadap sistem perlindungan mangsa keganasan rumah tangga, susulan dakwaan kelemahan pelaksanaan undang-undang serta kegagalan polis menangani isu itu secara berkesan.

Pengerusinya, Wong You Fong berkata walaupun Akta Keganasan Rumah Tangga dipinda pada 2017 bagi memperkenalkan Perintah Perlindungan Kecemasan (EPO), pelaksanaannya didakwa masih lemah dan tidak konsisten di lapangan.

 “Ramai mangsa masih berdepan kerenah birokrasi yang menyulitkan proses mendapatkan perlindungan. 

“Lebih membimbangkan, ada laporan bahawa pihak polis menolak aduan mangsa dengan alasan ia adalah ‘hal peribadi keluarga’,” katanya dalam kenyataan media.

Wong menegaskan, sikap sedemikian bukan sahaja menafikan hak mangsa untuk dilindungi, malah memperlihatkan kegagalan sistem yang seharusnya menjaga keselamatan rakyat.

New Straits Times pada 2 Mei lalu melaporkan, setiap hari seramai 19 individu di Malaysia menjadi mangsa penderaan oleh pasangan mereka setiap hari.

Pada tahun lalu, sebanyak 7,116 kes keganasan rumah tangga dilaporkan kepada pihak polis, meningkat sebanyak 2,822 kes atau 65 peratus berbanding 4,294 kes yang dicatatkan pada tahun 2023.

Penolong Pengarah Kanan Bahagian Siasatan Seksual, Wanita dan Kanak-Kanak (D11) Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Siti Kamsiah Hassan menjelaskan bahawa kes-kes penderaan terhadap wanita ini melibatkan pelaku seperti teman lelaki, kekasih, suami dan bekas suami.

Wong berkata purata 19 orang menjadi mangsa setiap hari amat membimbangkan.

Katanya, angka sebenar berkemungkinan lebih tinggi, memandangkan ramai mangsa tidak membuat laporan kerana takut, bergantung secara kewangan kepada pasangan atau terikat dengan stigma budaya.

 “Kita tahu ramai wanita memilih untuk membisu kerana bimbang keselamatan diri dan anak-anak, malu, atau percaya bahawa mereka akan dipersalahkan. 

“Sistem kita gagal meyakinkan mereka bahawa mereka akan selamat dan dibela,” katanya.

Wanita MCA turut membangkitkan keperluan untuk melatih pegawai polis dan kakitangan barisan hadapan dengan modul kesedaran gender serta empati terhadap mangsa, bagi mengelakkan insiden penolakan laporan berulang.

Pergerakan itu juga mencadangkan beberapa langkah segera termasuk mempermudah prosedur pelaporan dan permohonan perlindungan, menambah jumlah rumah perlindungan dan bantuan guaman, memperkenalkan program pemulihan untuk pelaku serta meningkatkan kempen kesedaran bagi menghapuskan stigma terhadap mangsa.

Wong turut menyeru agar mempercepatkan usaha menunaikan janji-janji bawah Konvensyen Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi terhadap Wanita (Cedaw), yang diratifikasi Malaysia sejak 30 tahun lalu.

 “Undang-undang sahaja tidak mencukupi. Kita perlukan komitmen menyeluruh dari semua pihak – , penguatkuasa, dan masyarakat – untuk benar-benar melindungi wanita.

 “Sudah tiba masanya keganasan rumah tangga dilihat bukan sebagai isu peribadi, tetapi sebagai masalah keselamatan awam dan pelanggaran hak asasi manusia. Setiap wanita berhak hidup tanpa ketakutan,” katanya.



Source link