Malaysia Oversight

18,000 sertai demo Turun Anwar – Polis

By MkiniBM in July 26, 2025 – Reading time 2 minute
18,000 sertai demo Turun Anwar – Polis


Polis Kuala Lumpur menganggarkan seramai 18,000 orang menghadiri Himpunan Turun anjuran pembangkang di Dataran Merdeka hari ini, satu angka yang jauh lebih rendah berbanding dakwaan penganjur.

Pemangku Ketua Polis Kuala Lumpur, Mohamed Usuf Jan Mohamad, pada sidang medianya memaklumkan perhimpunan berlangsung aman tanpa sebarang laporan insiden tidak diingini setakat ini.

“Hari ini, kita anggarkan lebih kurang 18,000 orang yang hadir pada perhimpunan pada hari ini. Setakat ini, tak ada laporan polis dibuat dan tak ada sebarang masalah. Kita terima kasih kepada semua.

“Saya juga nak ucapkan terima kasih bagi peserta-peserta kerana telah hadir dan tidak membuat sebarang provokasi yang melampau.

03758b842e641f7ab5e11dd96398d70c
Pemangku Ketua Polis Kuala Lumpur, Mohamed Usuf Jan Mohamad.

“Semuanya berjalan dengan lancar. Walaupun, ada satu dua perkara mungkin tidak dipersetujui di peringkat awal, tapi datang kemudian dapat kita selesaikan,” katanya.

Pun begitu, angka rasmi polis itu nyata berbeza dengan anggaran Harakahdaily, lidah rasmi , yang mendakwa 300,000 orang telah hadir setakat jam 3 petang.

Sementara itu, wartawan Malaysiakini di lapangan menganggarkan kehadiran sekitar 25,000 peserta sepanjang perhimpunan berlangsung.

Sebelum ini, pihak polis menjangkakan kehadiran antara 10,000 hingga 15,000 orang.

Polis teliti ucapan

Mohamed Usuf turut memaklumkan pihaknya akan meneliti kandungan ucapan-ucapan yang disampaikan oleh pemimpin dalam himpunan tersebut.

“Kita akan buat kajian sekiranya ada ucapan-ucapan yang menyentuh 3R (raja, agama dan kaum), ucapan-ucapan yang berbentuk hasutan, kita tetap akan ambil tindakan.

“Sebagaimana saya kata tadi, hak untuk berhimpun secara aman memang ada. Cuma kita ada akta-akta yang mana kalau kita melangkaui akta tersebut, tindakan pasti akan diambil,” jelasnya.

9a1660e7bd875a3424563046b555cfb4

Menurut Mohamed Usuf, seramai 3,000 anggota polis bertugas mengawal perhimpunan hari ini.

“Kita tingkatkan sampai 3,000 orang untuk menjaga… sehingga semua berjalan dengan baik.

“Kita akan adakan post-mortem kemudian, kita tengok apa-apa benda yang perlu kita tambah baik daripada semua pihak,” katanya lagi.



Source link