Malaysia Oversight

160 tempat bagi perakaunan, termasuk 85 bagi UPU

By MkiniBM in September 11, 2025 – Reading time 3 minute
160 tempat bagi perakaunan, termasuk 85 bagi UPU


Universiti Malaya (UM) menjelaskan bahawa ia menawarkan sehingga 160 tempat untuk setiap pengambilan pelajar ke dalam program perakaunan, berikutan soalan yang dibangkitkan oleh Presiden MCA Wee Ka Siong berhubung perkara itu.

Naib Canselor UM Noor Azuan Abu Osman menjelaskan daripada jumlah itu, 85 slot diperuntukkan kepada pelajar yang memohon melalui sistem kemasukan universiti berpusat (UPU) dan 28 tempat lagi dikhaskan untuk pelajar program perintis (feeder) institut itu.

Baki 30 hingga 50 tempat akan diisi oleh pelajar yang menerima tawaran pengambilan terus melalui sistem saluran terbuka (Satu).

“Kalau kita lihat dalam UPU ini ada tiga kategori iaitu kategori pertama adalah pelajar lepasan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM), matrikulasi dan juga asasi selain daripada UM.

“Kategori kedua adalah pelajar lepasan diploma dan ketiga adalah kategori program feeder iaitu mereka daripada Universiti Malaya.

“Maka, 85 tempat itu datangnya dari UPU, 28 pula daripada feeder UM dan lebih kurang 30 hingga 50 tempat melalui saluran terbuka,” katanya dipetik Utusan, semalam.

Noor Azuan juga menegaskan bahawa tawaran 28 tempat di bawah program feeder UM adalah amalan biasa yang dibenarkan oleh UPU untuk universiti memilih calon daripada kalangan graduan asasi yang memenuhi merit yang ditetapkan.

Semalam, Wee menegaskan kenyataan Kementerian Pengajian Tinggi mengenai UM hanya menawarkan 85 tempat untuk program perakaunan tidak selari dengan data rasmi universiti terkemuka negara mengenai bilangan graduannya untuk kursus itu.

Ahli Parlimen Ayer Hitam itu mempertikaikan angka itu kerana UM telah melahirkan purata kira-kira 150 graduan perakaunan antara 2011 hingga 2024.

Mengulas dakwaan itu, Noor Azuan dilaporkan berkata UM, menggunakan “cara kreatif” untuk meningkatkan bilangan pelajarnya dan memastikan kedudukannya terus melonjak.

Dia berkata demikian sebagai menjelaskan saluran pengambilan terus, di mana pelajar dikatakan perlu membayar yuran pengajian “sehingga 10 kali ganda” daripada orang lain yang mengikuti kursus yang sama.

Noor Azman bagaimanapun menegaskan pengambilan terus UM bukanlah automatik, kerana calon yang pada mulanya gagal mendapatkan tempat melalui sistem UPU perlu melalui proses rayuan, selepas itu permohonan mereka akan disenaraikan dan diputuskan.

“Direct intake ini bersyarat dan meritnya sama seperti UPU tetapi (tawaran) dikeluarkan selepas daripada tarikh rayuan.

“Dalam surat jelas menyatakan bahawa tawaran hanya akan dikeluarkan selepas tarikh rayuan itu dibuat, jadi calon bagi 30 hingga 50 tempat ini ditapis berdasarkan ranking, kita akan lihat siapa yang terbaik.

“Kita kena ingat nama sahaja saluran terbuka tetapi ini bukan lah saluran yang diberi secara automatik, tidak sama sekali. Ia adalah saluran yang perlu dimohon kemudian (tapisan) mengikut ranking sama seperti proses UPU,” katanya.

Sebelum ini, Wee telah membangkitkan kebimbangan mengenai UM mengutamakan keuntungan selepas didakwa UM telah mengeluarkan tawaran pengambilan terus kepada pelajar cemerlang STPM Edward Wong beberapa bulan sebelum dia menerima pengesahan permohonan UPUnya yang ditolak.

Wee berkata bahawa walaupun tawaran itu menunjukkan bahawa pelajar itu layak untuk kursus berkenaan, hanya jika dia boleh membayar yuran, sistem UPU akhirnya menentukan bahawa Wong tidak mendapat tempat dalam program perakaunan universiti itu.

Menteri Pendidikan Tinggi Zambry Abd Kadir sejak itu menegaskan pengajian tinggi tidak seharusnya dipolitikkan oleh mana-mana pihak, sambil menekankan bahawa pelajar yang menghadapi masalah dalam proses kemasukan universiti mempunyai jalan yang sewajarnya, termasuk proses rayuan, untuk menyelesaikan perkara itu.

Zambry juga berkata kementerian tetap terbuka untuk menangani sebarang kelemahan dalam proses kemasukan semasa, yang sentiasa diperbaiki dari semasa ke semasa.



Source link