PETALING JAYA: Pelbagai faktor menyebabkan warga asing dihalang masuk ke negara ini oleh Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (AKPS).
Antaranya tidak membawa wang sara diri mencukupi selain tiada tiket pulang.
AKPS dalam kenyataan berkata, selain itu, warga asing yang dihalang masuk turut dikesan menggunakan taktik membuat tempahan penginapan palsu.
Katanya, warga asing ini kononnya datang sebagai pelancong sebaliknya dipercayai datang untuk tinggal di Malaysia secara tidak sah.
“Semalam sahaja, seramai 126 warga asing dihalang daripada memasuki Malaysia dalam operasi bersepadu oleh Pasukan Pemantau AKPS di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur Terminal 1 (KLIA1) dan Terminal 2 (KLIA2).
“KLIA Terminal 1, pasukan pemantau berjaya menahan seramai 35 lelaki warga Pakistan kerana gagal mematuhi syarat kemasukan.
“Manakala operasi di KLIA2, seramai 91 pelawat asing dikenakan Notis Penolakan Masuk (NTL) atas pelbagai kesalahan,” kata kenyataan itu.
AKPS memaklumkan, siasatan di KLIA1 mendapati warga asing itu telah mengemukakan tempahan penginapan palsu, tidak membawa wang sara diri yang mencukupi, dan tiada tiket pulang.
“Semua mereka disyaki bukan pelancong tulen dan dipercayai cuba memasuki Malaysia untuk bekerja,”jelasnya.
Tambah kenyataan itu, hasil penahanan ini mendapati ia kumpulan terbesar yang ditahan membabitkan 64 warga India yang menggunakan helah transit dan siasatan mendapati mereka gagal mengemukakan bukti tempahan hotel dan tiket penerbangan pulang.
“Mereka mendakwa hanya transit di Malaysia namun sebenarnya menunggu arahan dan tiket baharu daripada ejen bagi tujuan tinggal serta bekerja secara tidak sah di Malaysia.
“Turut ditahan di KLIA Terminal 2 ialah dua warga Pakistan yang menggunakan ePass palsu,”jelasnya.
Menurutnya, semua warga asing terbabit telah dihantar pulang ke negara asal masing-masing menggunakan penerbangan terawal dalam tempoh 24 jam. – UTUSAN