SEREMBAN: Mahkamah Majistret menjatuhkan hukuman denda RM3,000 ke atas setiap seorang daripada 11 lelaki yang mengaku bersalah menawarkan perkhidmatan pinjaman tidak wujud pada 26 Ogos lepas.
Kesemua tertuduh berumur antara 19 hingga 41 tahun itu mengaku bersalah selepas pertuduhan dibacakan secara berasingan di hadapan Majistret Nurul Saqinah Rosli.
Nurul Saqinah turut memerintahkan hukuman penjara enam bulan jika mereka gagal membayar denda serta mengarahkan semua barang kes diserahkan kepada pihak pendakwaan.
Willie Ngam Tee, Lai Wen Bin, Chee Juen Hoe, ‘Vincent Lim Liang Yik, Jerry Teo Chee, Sim Wee Yung dan Chin Chye Fui didapati berpakat menawarkan perkhidmatan pinjaman tidak wujud dan mendorong mangsa menyerahkan wang kepada individu lain.
Tan Wen Wah, Yong Wai Chua, Chan Zi Cheng dan Jaydi Requiron Teh turut melakukan kesalahan sama di sebuah premis di sini pada tarikh dan masa berhampiran.
Pertuduhan dikenakan mengikut Seksyen 120B (2) Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 34 akta sama yang membawa hukuman penjara tidak melebihi enam bulan atau denda atau kedua-duanya sekali.
Timbalan Pendakwa Raya P. Rubini memohon mahkamah mengenakan denda maksimum terhadap semua tertuduh sebagai pengajaran kepada orang ramai.
Peguam Erickka Farrise memohon denda minimum dikenakan memandangkan ini merupakan kesalahan pertama mereka dan tempoh 12 hari dalam lokap telah memberikan pengajaran yang menginsafkan. – Bernama