Malaysia Oversight

’10 syarat untuk bekal pekerja asing akan wujudkan semula sindiket’

By MkiniBM in November 4, 2025 – Reading time 4 minute
'10 syarat untuk bekal pekerja asing akan wujudkan semula sindiket'


Sekurang-kurangnya dua persatuan antarabangsa mengecam syarat baru Malaysia bagi pengambilan pekerja asing, yang disifatkan tidak realistik, tidak adil dan berpotensi menghidupkan semula “sindiket”.

Ini selepas melalui Kementerian Luar Negeri (KLN) menetapkan 10 kriteria wajib untuk agensi luar negara membekalkan pekerja ke Malaysia.

Surat bertarikh 27 Okt dihantar dari Kementerian Luar Negeri (KLN) kepada kedutaan negara-negara sumber (negara layak menghantar pekerja asing) dan meminta masing-masing menyerahkan senarai agensi yang mampu memenuhi semua syarat itu selewat-lewatnya pada 15 November 2025.

Antara syarat yang dianggap sebagai kontroversi ialah agensi yang ingin menghantar pekerja asing ke Malaysia perlu mempunyai pengalaman mengurus sekurang-kurangnya 3,000 pekerja dalam lima tahun dan menempatkan pekerja ke sekurang-kurangnya tiga negara.

Malaysiakini telah melihat sendiri surat berkenaan.

ff6cd06f73ffadd40af2ca7e5e3e1a80

Syarat lain yang ditetapkan ialah perlu mempunyai testimoni positif daripada sekurang-kurangnya lima majikan antarabangsa, memiliki pejabat tetap besar (≥10,000 kaki persegi) yang telah beroperasi sekurang-kurangnya tiga tahun dan mempunyai pusat latihan sendiri.

Bercakap kepada Malaysiakini, Persatuan Agensi Pengambilan Pekerja Asing Bangladesh (Baira) dan Persatuan Agensi Pekerjaan Asing Nepal (Nafea) berkata 10 kriteria yang ditetapkan oleh Kementerian Luar Negeri adalah “mustahil” untuk dipenuhi oleh hampir semua agensi, termasuk yang berpengalaman.

Kedua-dua persatuan itu turut mendakwa syarat ini hanya helah untuk mengawal pasaran dan menyingkirkan agensi baru, selain beberapa individu di Malaysia menjadi “dalang” di sebalik cubaan menghidupkan semula sistem sindiket.

“Bunyi dasar ini memang baik di atas kertas, tetapi 99 peratus agensi di Bangladesh dan negara lain tidak mampu memenuhinya. Sebahagian besar kriteria ini tidak relevan, tidak beretika, dan berniat jahat.

“10 kriteria itu “tidak logik dan mendiskriminasi”, kerana pasaran pekerja asing ke Malaysia pernah ditutup lama — termasuk dari 2009 hingga 2012 dan kemudian dikawal oleh sindiket antara 2017 hingga 2024.

“Bagaimana agensi boleh menghantar pekerja ke tiga negara berbeza jika pasaran tertutup? Ini satu kegilaan,” kata bekas Setiausaha Agung Bersama-1, BAIRA Mohammed Fakhrul .

Sementara itu, Nafea turut menyuarakan kebimbangan yang sama terhadap langkah itu berkata tindakan Malaysia mengehadkan hanya beberapa agensi untuk beroperasi adalah “tidak adil dan bercanggah dengan norma antarabangsa”.

“Keputusan ini menafikan hak agensi Nepal untuk beroperasi secara bebas dan akan meningkatkan beban kewangan ke atas pekerja Nepal.

“Sistem seperti ini akan melemahkan dasar pekerjaan luar negara kerajaan Nepal dan membuka ruang kepada rasuah serta eksploitasi pekerja.

“Pekerjaan luar negara melibatkan kepentingan bersama majikan dan pekerja. Mengehadkan agensi yang berlesen adalah serangan terhadap hak bersaing secara adil,” kata Setiausaha Agung NAFEA, Mahesh Kumar Barnet.

cc13381571329d552c7763b64aa72c09

Persatuan itu menggesa kerajaan Nepal supaya tidak mengiktiraf sebarang bentuk sindiket, dan menuntut Malaysia menarik balik dasar berkenaan.

Malaysiakini telah menghubungi KLN semalam dan masih menunggu untuk mendapatkan komen.

Pada 31 Julai Malaysiakini melaporkan Bangladesh bersetuju menghentikan siasatan berhubung dakwaan sindiket mengeksploitasi warga Bangladesh yang ingin bekerja di Malaysia.

Ia selepas satu sumber mendakwa keputusan itu dicapai dalam pertemuan antara wakil kerajaan Bangladesh dan pegawai Kementerian Sumber Manusia (Kesuma) di Kuala Lumpur, pada Julai tahun ini.

Malaysiakini juga diberitahu bahawa pertemuan itu diadakan susulan surat kerajaan Malaysia kepada Bangladesh yang meminta untuk menghentikan siasatan terhadap dakwaan-dakwaan yang dianggap sebagai tidak berasas.

Surat itu bertarikh 23 April 2025 itu dikatakan dihantar daripada pegawai kanan Kesuma kepada pegawai kanan Kementerian Kebajikan Ekspatriat dan Pekerjaan Luar Negara Bangladesh.

Dalam surat itu, Kesuma meminta Bangladesh menangani isu sindiket yang mengeksploitasi warga Bangladesh yang ingin bekerja di Malaysia semasa fasa 2022-2024 untuk memastikan proses pengambilan pekerja yang lancar dan boleh dipercayai.

Surat itu juga menyebut bahawa sebahagian besar dakwaan pemerdagangan manusia dan pengubahan wang haram tidak berasas dan menjejaskan reputasi Malaysia.

Sehingga kini Kesuma enggan memberi sebarang komen berhubung kewujudan surat tersebut.

Surat bantahan kepada PMX

Dalam pada itu, seorang aktivis tempatan telah menghantar surat kepada Perdana Menteri Ibrahim bagi membantah syarat baru kerajaan dalam pengambilan pekerja asing.

Ketika dihubungi, V Sivam yang juga ahli mengesahkan menghantar surat kepada .

699668b334e8a25a5e8e2a8428e342b1

“Proses pemilihan agensi berlesen dalam dasar baru ini tidak telus dan mungkin berat sebelah, yang boleh membuka ruang kepada penguasaan segelintir pihak serta risiko wujudnya sindiket tersembunyi dalam kelulusan agensi.

“Rasionalisasi ini dijangka akan menjejaskan banyak agensi tempatan sah yang telah lama beroperasi dan mempunyai rekod baik, kerana hanya segelintir agensi mungkin dipilih untuk terus beroperasi. Hal ini dianggap tidak adil kepada pengusaha tempatan yang telah mematuhi peraturan sedia ada,” katanya.

Dia turut menegaskan bahawa dasar tersebut tidak selaras dengan semangat keterbukaan dan tadbir urus baik yang ditekankan dalam dasar Kerajaan Madani, kerana ia dibuat tanpa mengambil kira pandangan industri dan pihak berkepentingan serta boleh menjejaskan imej Malaysia di mata dunia.

“Saya memohon agar Perdana Menteri meneliti semula dan membatalkan pelaksanaan dasar dalam memo tersebut, bagi memastikan peluang sama rata kepada semua agensi pengambilan pekerja serta mengekalkan prinsip keadilan, ketelusan dan integriti dalam urusan tenaga kerja asing negara,” katanya.

Untuk rekod, pada September tahun lalu, media sama melaporkan bahawa pemilik sebuah agensi pekerja membuat laporan polis ke atas 103 individu (pemilik agensi) atas dakwaan terlibat dalam sindiket mengeksploitasi warga Bangladesh yang ingin bekerja di Malaysia.

Laporan polis itu merujuk dakwaan penyelewengan dan pemerdagangan manusia yang dikaitkan dengan proses penghantaran pekerja negara itu ke Malaysia, menerusi agensi yang dipilih melalui memorandum persefahaman (MOU) antara dua negara yang ditandatangani pada 19 Disember 2021.

Lebih 480,000 pekerja Bangladesh memasuki Malaysia antara 2022-24 melalui agensi (103 agensi) yang dilesenkan oleh kedua-dua kerajaan.

Beberapa NGO tempatan dan Bangladesh, mendakwa keputusan kedua-dua negara hanya membenarkan 103 agensi sahaja untuk membawa masuk pekerja asing mengakibatkan ramai pekerja terperangkap dengan jaminan palsu setelah membayar sehingga RM25,000 yuran pengambilan, selalunya melalui hutang.



Source link