Malaysia Oversight

10 Perkhidmatan dan Peranti Yang Ditamatkan Pada Tahun 2025

By Amanz in December 2, 2025 – Reading time 5 minute
10 Perkhidmatan dan Peranti Yang Ditamatkan Pada Tahun 2025


10 Perkhidmatan dan Peranti Yang Ditamatkan Pada Tahun 2025

December 2, 2025
Lain-lain

Penulis Tamu

Tahun 2025 hampir melabuhkan tirainya dan mengekalkan tema di penghujung tahun, kami senaraikan 10 perkhidmatan dan peranti yang telah diberhentikan tahun ini. Tahun ini melihat penamatan perkhidmatan internet Streamyx, pos surat di Denmark, Windows 11 dan banyak lagi.

10 Perkara 2025 Ditamatkan

1. Windows 10

Windows 10 Tamat

Pada 14 Oktober lalu, sokongan untuk Windows 10 telah ditamatkan secara rasmi oleh Microsoft. PC dengan Windows 10 masih boleh digunakan seperti biasa tetapi tidak lagi akan menerima sebarang kemas kini ciri-ciri baharu ataupun tampalan sekuriti.

Pengguna dengan kelengkapan yang memenuhi kelayakan minima digalakkan untuk menaiktaraf sistem operasi ke Windows 11 dengan segara. Sekiranya PC anda tidak melepasinya, anda diberikan pilihan menyertai Windows 10 ESU (Extended Security Updates) yang memberikan kemas kini sekuriti sehingga 13 Oktober 2026 sahaja.

Tindakan Microsoft menamatkan sokongan Windows 10 menerima kritikan kerana sekitar 41% PC di dunia masih lagi menggunakan sistem operasi yang dilancarkan lebih 10 tahun lalu. Dell pula mendedahkan masih terdapat 1 bilion PC masih menggunakan Windows 10 dengan 500 juta PC boleh dinaiktaraf ke Window 11 tetapi pemilik enggan melakukannya.

2. Streamyx

Streamyx

Telekom Malaysia menamatkan perkhidmatan Streamyx /Unifi Lite, selepas notis penamatan dikeluarkan pada 18 Mac 2025. Halaman web rasmi TM memaparkan notis penaik-tarafan Streamx/Unifi Lite ke Unifi Broadband. Streamyx adaah salah satu perkhidmatan internet yang memulakan akses internet lebih pantas, sebelum tibanya era internet berasaskan gentian optik.

Streamyx ditawarkan sejak 2001 dan ketika dilancarkan ia hadir dengan pakej berkelajuan 384kbps, panggilan suara tanpa had untuk telefon rumah, akses internet tanpa had yang berbeza dengan dial-up yang perlu dibayar berasaskan penggunaan. Ia juga turut hadir dengan akaun emel @streamyx.com yang turut digunakan ramai pada suatu masa dahulu. Perkhidmatan emel ini telah ditamatkan oleh TM lebih awal sebelum ini.

Streamyx pernah menawarkan kelajuan sehingga 8Mbps menggunakan sambungan berasaskan talian tetap. Telekom Malaysia seterusnya telah mula memperkenalkan perkhidmatan internet berasaskan fiber sejak 2010 di bawah jenama Unifi. Dengan penamatan Streamyx ini, ia sekaligus menyertai beberapa jenama Telekom Malaysia yang telah berkubur seperti Bluehyppo.

3. Celcom Life dan MyDigi

CelcomDigi App Baharu

Aplikasi Celcom Life dan MyDigi ditamatkan pada 31 Disember depan dengan pengguna perlu berpindah ke aplikasi baharu CelcomDigi. Aplikasi terbaru ini sudah sedia digunakan pelanggan perkhidmatan telekomunikasi tersebut yang mana mereka mendaftar nombor baharu, membayar bil telefon bulanan, membeli peranti pintar baharu ataupun melanggan perkhidmatan penstriman kegemaran daripada satu aplikasi sahaja.

Ia dibina berdasarkan input daripada 10 juta pelanggan, yang kini telah meningkat kepada lebih 20 juta pelanggan dan 100 ribu penguji beta apabila dibangunkan, dan hasilnya ialah apa yang dapat dilihat pada hari ini.

Selari dengan penamatan perkhidmatan Celcom Life an MyDigi, pelanggan sudah diminta berhijrah ke aplikasi CelcomDigi. Tetapi proses ini menghadapi masalah semalam dengan pelanggan merungut tidak menerima OTP, diminta berdaftar semula dan aplikasi tidak menawarkan cara meneruskan proses log masuk.

4. Skype

Skype Teams

Microsoft menamatkan perkhidmatan panggilan video terkemuka Skype pada 5 Mei lalu selepas membelinya 14 tahun yang lepas dengan pengguna Skype diberikan tempoh 10 minggu untuk memindahkan pelbagai data mereka ke Microsoft Teams.

Penamatan operasi Skype telah diramalkan ramai selepas Microsoft Teams dilancarkan. Antara langkah yang telah dilakukan ialah mengurangkan kemas kini Skype dan pengenalan ciri baharu juga semakin berkurangan.

Sebelum 2020, Skype ialah aplikasi telesidang dengan lebih 200 juta pengguna bulanan dengan ia memegang sekitar 32% pasaran. Tetapi semasa pandemik, Zoom dan Google Meet menjadi pilihan kerana kemampuan menampung lebih banyak pengguna. Sebelum ditamatkan, Skype mempunyai sekitar 40 juta pengguna bulanan.

5. Sokongan macOS Pada Komputer Mac Intel

All Mac macOS 26

macOS Tahoe 26 ialah versi terkini sistem operasi komputer yang dilancarkan tahun ini. Tetapi mengesahkan macOS Tahoe 26 ialah sistem operasi terakhir menyokong Mac yang menggunakan cip Intel.

Selepas ini, macOS 27 hanya akan menyokong Mac dengan Silicon sahaja. Ini tidaklah mengejutkan kerana Apple sendiri telah menghentikan jualan Mac dengan cip Intel sejak beberapa tahun lalu.

Keperluan sistem operasi dan pemprosesan berbeza menyebabkan Mac dengan cip Intel tidak lagi akan menerima versi baharu. Tetapi seperti semua perkakasan mereka, Apple masih akan memberikan kemas kini tampalan sekuriti secara berkala.

6. Pocket

Pocket

Mozilla secara mengejut mengumumkan mereka akan menamatkan perkhidmatan Pocket pada 8 Julai 2025. Pocket merupakan salah satu perkhidmatan yang membolehkan anda menyimpan pautan laman web yang dibaca kemudian.

Mozilla sebelum ini telah mengambil-alih Pocket pada tahun 2017. Mereka mengatakan pengguna telah menyimpan jutaan artikel melalui Pocket, namun cara penggunaan dan pelayaran web oleh orang ramai  kebelakangan ini telah berubah berbanding dulu. Pengguna Pocket sedia ada tidak lagi boleh melakukan eksport keluar data kerana ia ditutup pada 8 Oktober lalu.

7. Pos Denmark Menghentikan Penghantaran Surat Selepas Lebih 400 Tahun

PostNord Denmark peti pos

Syarikat pos kebangsaan Denmark, PostNord menghentikan penghantaran surat pada penghujung 2025 kerana permintaan yang semakin berkurangan disebabkan oleh penduduk Denmark yang kini lebih selesa menggunakan perkhidmatan pemesejan digital yang lebih mudah serta pantas.

Keputusan PostNord ini akan menamatkan perkhidmatan penghantaran surat yang ditawarkan mereka di Denmark sejak 1624. Jumlah surat yang dihantar di Denmark susut 90% daripada 1.4 billion pada tahun 2000 ke to 110 juta sahaja sepanjang 2024. Perkhidmatan penghantaran surat akan diambil oleh DAO, sebuah syarikat swasta.

Disebabkan penamatan perkhidmatan ini, lebih 1000 kakitangan PostNord akan kehilangan kerja. Surat tidak lagi dihantar bermula 2026 tetapi PostNord meningkatkan perkhidmatan penghantaran bungkusan yang semakin meningkat dan menguntungkan kerana populariti pembelian secara atas talian pasca pandemik.

8. AOL Dial Up

AOL dial up

Bukan sekadar Streamyx sahaja berkubur tahun ini, America Online (AOL) pengelola rangkaian internet dan pelbagai perkhidmatan atas-talian di Amerika Syarikat baru-baru ini telah mengumumkan mereka akan menamatkan penawaran internet dial up mereka pada penghujung bulan September 2025.

AOL telah menawarkan perkhidmatan internet dial up sejak 1991, dan untuk 34 tahun telah mengekalkannya apabila dunia telah beralih ke sambungan jalur lebar dan gentian optik yang jauh lebih pantas. Malah, pada hari ini ia dapat dilihat bahawa sambungan internet mudah-alih juga sudah jauh meninggalkan kelajuan internet perlahan tersebut.

Malaysia sudahpun menamatkan penawaran internet jalur sempit 1515 dan lain-lain sejak Oktober 2017 melalui Telekom Malaysia, yang mana penduduk di Malaysia kini semuanya menikmati sambungan internet pantas melalui gentian optik dan rangkaian mudah-alih 4G dan 5G.

9. TypePad Menamatkan Perkhidmatan Blog Selepas 22 Tahun

TypePad

TypePad merupakan antara perkhidmatan menulis blog terawal yang dilancarkan pada Oktober 2003. Pada bulan Ogos, pihak TypePad kini memaklumkan mereka akan menamatkan penawaran perkhidmatan mereka berkuatkuasa 30 September lalu. Pengumuman ini dilakukan secara mengejut tanpa sebarang petanda diberikan.

Untuk makluman, pihak TypePad telah menghentikan pendaftaran akaun baharu sejak penghujung 2020. Selepas 30 September 2025, semua perkongsian dan artikel yang diterbitkan akan dipadam sepenuhnya.

10. Saluran MTV

MTV Logo 1080

Paramount, syarikat induk yang memiliki saluran MTV mengumumkan siaran akan dihentikan di United Kingdom dan Ireland bermula 31 Disember 2025. Selepas itu siaran TV akan dihentikan di pasaran global seperti Australia, Poland, Jerman, Benelux, Perancis dan Brazil secara berperingkat.

Tindakan menamatkan operasi MTV adalah bagi mengurangkan kos operasi syarikat sehingga $500 juta setahun. Perubahan landskap muzik membuatkan MTV tidak lagi menjadi destinasi utama untuk menonton muzik video artis kegemaran dan ia kini digantikan oleh platform penstriman seperti YouTube, TikTok dan Apple Music.

Jenama MTV masih akan diteruskan di media sosial dengan kandungan masih boleh distrim menerusi platform Paramount+ selepas ini. Ketika laporan diterbitkan masih tidak pengesahan saluran MTV juga akan dihentikan di Malaysia

Komen

Sila log masuk untuk menghantar komen.



Source link