ULASAN | “PN lebih pentingkan cari babi dari cari pengundi.”
Begitulah bunyi jenaka yang muncul semasa kempen PRK Ayer Kuning tempoh hari. Hakikatnya ia bukan suatu lawak yang biasa-biasa. Jenaka sebegitu tidak dibuat tanpa tujuan atau niat tertentu.
Ia sebenarnya dicipta sebagai tindak balas bagi mengenepi serta menidakkan naratif kempen utama PN yang mendakwa kononnya kawasan Ayer Kuning dipenuhi dengan ladang ternakan babi yang beroperasi secara haram hingga mengakibatkan pencemaran.
Satu lagi modal kempen PN yang selalu dimainkan dalam setiap PRK adalah ‘UmDAP.’ Naratif pembangkang yang paling popular ini telah menyebabkan gerak kerja dan strategi pilihanraya Umno, BN dan PH sering terpaksa diletakkan dalam keadaan bertahan.
Orang sering lupa bahawa survival dan kejayaan sesebuah parti politik itu tidak hanya bergantung kepada ideologi, sejarah silam mahupun ketokohan pemimpinnya sahaja. Sebaliknya ia juga banyak terletak pada cara beberapa ciri propaganda menggunakan teknologi bagi meninggalkan kesan yang kuat ke atas setiap jiwa dan hati manusia.
Sebelum adanya ‘UmDAP’, politik Malaysia sudah pernah menyaksikan kerjasama politik antara PAS dan DAP yang melahirkan ‘PASDAP’ selain kerjasama Bersatu bersama DAP yang melahirkan ‘BersaDAP.’ Tetapi apabila tidak ada propaganda secara berstruktur dan bersistematik yang memanfaatkan teknologi moden hari ini, maka ia telah mengakibatkan Umno serta PH terpaksa memikul beban hanya kerana menjalinkan kerjasama dengan DAP, yang mana pernah juga dilakukan oleh PAS dan Bersatu.

Saya akan menyenaraikan sepuluh ciri unik dan universal propaganda yang diambil dari tujuh buku terbaik propaganda moden yang telah saya senaraikan dalam artikel sebelum ini.
Ciri pertama adalah propaganda adalah proses yang sistematik dan berterusan. Apa yang dimaksudkan dari ciri ini adalah proses pemujukan yang menggunakan lisan, foto, simbol, muzik dan tulisan secara bersistematik dan berterusan.
Edward Bernays dalam buku Propaganda dan Jacques Ellul melalui buku The Formation of Men Attitude sependapat menyatakan bahawa propaganda bukannya suatu tindakan sekali-sekala dan sementara. Akan tetapi ia adalah usaha dan gerak kerja jangka panjang yang membentuk sikap, tingkah laku dan nilai masyarakat.
Ciri yang kedua adalah tentang kebijaksanaan membangkitkan rasa dan emosi bagi menguasai jiwa, perasaan dan semangat rakyat.
Jason Stanley dalam buku How Propaganda Works yang turut dipersetujui oleh Bernays dan Ellul ini adalah teknik membangkitkan pelbagai rasa dalam satu masa. Rasa takut, bangga, simpati atau benci digunakan menjadi alat bagi mengatasi rintangan secara logik dengan beberapa ciptaan tindakan sebagai respon bagi mencapai apa jua matlamat propaganda.

Ciri ketiga adalah berkenaan kaedah menterjemahkan realiti kehidupan semasa dengan cara penetapan agenda dan pembingkaian, atau framing. Ciri propaganda ini menyediakan masyarakat untuk sentiasa bersedia mendengar dan menerima pendapat dan pandangan propagandis.
Sepertimana yang dijelaskan Lippmann, Bernays, Herman dan Chomsky dalam buku mereka, propaganda memiliki ciri unik untuk menentukan isu mana yang lebih penting untuk dibincangkan dan bagaimana ia harus difahami.
Keempat ialah mesej yang disampaikan dengan cara sederhana dan stereotaip. Dalam erti kata lain, menggerakkan penukaran isu yang kompleks menjadi naratif dan label-label propaganda yang lebih mudah diterima pakai seperti perkataan ‘pengkhianat’ atau ‘musuh bangsa’ pada karikatur.
Ciri keunikan dan universal propaganda boleh dilihat dengan lebih jelas pada ciri kelima kerana selain bersifat meruntuhkan, ia juga mampu membina. Ini kerana propaganda itu memiliki dwi dan multi fungsi baik dengan tujuan positif ataupun manipulatif.
Melalui ciri ini, ia bukan setakat kesedaran untuk membina imej positif dan digunakan bagi mengekalkan kuasa bahkan ia kerap kali digunakan untuk mengelirukan orang awam.

Ciri keenam adalah cara paling popular yang banyak digunakan pada hari ini. Dalam buku How Propaganda Works tulisan Jason Stanley dan buku Propaganda tulisan Berneys, ada dijelaskan berkenaan penggunaan pihak ketiga seperti pempengaruh, agamawan, selebriti atau negarawan yang sudah bersara.
Kejayaan cara ini selalu dapat mencipta naratif serta mencetuskan gelombang kepercayaan dalam suasana tenang sebelumnya.
Ciri ketujuh ialah senyap, iaitu ciri propaganda moden yang meresap dan menyelinap masuk ke dalam minda masyarakat melalui drama, lagu, institusi dan trend-trend sosial yang popular.
Apa yang menariknya tentang ciri ini, sebagaimana yang dijelaskan oleh Ellul, Herman dan Chomsky dalam buku mereka, proses itu berlaku tanpa disedari. Ia bergerak secara senyap dalam media atau budaya tanpa disedari sesiapa.
Ciri kelapan adalah perkara yang sering diabaikan oleh banyak parti politik hari ini. Iaitu mengiktiraf dan mengulang-ulang mesej propaganda yang dicipta sehingga ia menjadi suatu norma dan kepercayaan yang melekat ke dalam jiwa dan minda masyarakat.
Kesembilan adalah keupayaan dan keberanian mencipta watak musuh demi penyatuan beberapa fraksi dan kumpulan bagi mengalihkan tumpuan terhadap sesuatu isu.
Menurut empat tokoh retorik dan propaganda seperti Lasswell, Stanley, Herman dan Chomsky, ciri propaganda ini adalah watak ciptaan yang digunakan sebagai antagonis bagi menyatukan individu, puak atau kumpulan untuk dijadikan alat bagi mengalihkan perhatian masyarakat dari isu sebenar yang lebih berat.
Kesepuluh adalah menyandarkan sesuatu propaganda kepada elit kuasa dan struktur politik yang dominan seperti kerajaan. Dalam dunia moden, ciri propaganda ini akan dikendalikan oleh elit politik dan jutawan kapitalis yang memiliki saluran media utama, yang mana tugas mereka kebanyakannya adalah bagi mengekalkan status quo.
Namun, hari ini keadaan sedikit berubah apabila setiap di kalangan masyarakat mempunyai telefon, dan menyebarkan idea propaganda sendiri dan disambut oleh masyarakat yang berkongsi emosi yang sama.
BUDIMAN MOHD ZOHDI ialah naib ketua Umno bahagian Sungai Besar dan bekas ahli parlimen.
Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.