PAS hari ini menegaskan komitmennya untuk kekal bersama Perikatan Nasional (PN), susulan pertikaman lidah dengan parti teras gabungan itu, Bersatu, berhubung isu dana pilihan raya.
Dalam satu kenyataan, Naib Presiden PAS Idris Ahmad berkata keputusan yang dibuat oleh setiap parti di peringkat masing-masing wajar dihormati oleh semua pihak.

“PAS menegaskan komitmen untuk terus bersama rakan-rakan gabungan dalam PN dalam usaha menghadapi Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16).
“Perpaduan dalam gabungan ini adalah kekuatan utama bagi memperjuangkan kepentingan rakyat dan negara, di samping memperkasakan PN sebagai sebuah gabungan politik yang lebih utuh, berprinsip dan berpandangan jauh,” katanya.
Pesuruhjaya PAS Perak itu turut menegaskan bahawa PN mesti mengutamakan isu-isu rakyat yang semakin mencengkam kehidupan seharian mereka.
Antara yang dibangkitkannya termasuk Akta Pembaharuan Semula Bandar (PSB), kematian pelajar 13 tahun Zara Qairina, kesan penyesuaian subsidi RON95 serta kos sara hidup yang semakin meningkat.
Idris juga mengumumkan PAS akan menganjurkan Himpunan Mega Tolak PSB pada 4 Oktober depan, dengan menjemput semua pihak untuk hadir.
“PAS menjemput semua pihak untuk hadir bersama bagi memperjuangkan nasib rakyat yang bakal dizalimi selepas akta ini dikuatkuasakan.
“PAS yakin dengan kebersamaan dan kesungguhan seluruh komponen PN, kita mampu menawarkan penyelesaian yang lebih baik, adil dan saksama kepada rakyat Malaysia,” katanya.

Kenyataan ini hadir selepas sindiran terbuka Pengarah Pilihan Raya PAS, Muhammad Sanusi Md Nor pada Muktamar Tahunan PAS ke-71 di Alor Setar, Kedah baru-baru ini.
Dalam ucapan penggulungannya, Sanusi mendakwa parti komponen PN banyak bergantung kepada jentera parti dan kewangan PAS dan ada yang “mai (datang) bertanding syok saja” dibantu oleh partinya.
Susulan itu, bekas ketua setiausaha sulit Presiden Bersatu Muhyiddin Yassin, Marzuki Mohamad, menegaskan partinya turut menanggung kos perbelanjaan PRU15 yang memberi peluang kepada PAS memenangi 43 kerusi parlimen.
Sanusi seterusnya “mencabar” Bersatu supaya mengemukakan butiran lebih jelas mengenai sumbangan kewangan tersebut, sambil menegaskan PAS tidak bergantung kepada dana daripada parti itu.

Sebaliknya, kata Sanusi, dana PAS diperoleh melalui sumbangan ahli di peringkat unit peti undi (UPU) dan derma “tin Milo”.
“Tin Milo” merupakan istilah yang dikaitkan dengan tradisi PAS mengumpul derma semasa sesuatu program berjalan, termasuk ceramah politik.