Malaysia Oversight

BMC Family 360° bawakan Nabila Razali dalam kempen SDG khas untuk warga Kajang

By Utusan in September 19, 2025 – Reading time 2 minute
BMC Family 360° bawakan Nabila Razali dalam kempen SDG khas untuk warga Kajang


KAJANG – BMC Family 360°, sebuah karnival kekeluargaan bertemakan “A Step to the Future”, bakal berlangsung di BMC Mall, Bandar Mahkota Cheras sepanjang hujung minggu ini.

Menariknya, karnival tersebut menampilkan personaliti terkenal tanah air, Nabila Razali, sebagai jurucakap utama acara berkenaan.

Menurut Nabila, 32, beliau menyedari tanggungjawab besar yang digalas sepanjang penglibatannya dalam acara itu.

WhatsApp Image 2025 09 19 at 11.28.49 AM

“Selain membuat persembahan, saya juga berperanan mencelikkan pengetahuan serta menyebarkan kesedaran tentang pentingnya SDG,” katanya.

BMC Family 360° dianjurkan oleh AI Global dengan kerjasama Majlis Perbandaran Kajang (MPKj), BMC Mall, iBidan dan CelcomDigi.

Acara ini berlandaskan Matlamat Pembangunan Mampan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNSDG) dengan fokus memperkukuh nilai kekeluargaan, membina komuniti mampan serta menggalakkan gaya hidup pintar.

“Sebagai permulaan, saya sendiri sudah mula mengubah gaya hidup dengan menerapkan unsur-unsur SDG dalam rutin harian.

“Ia sebenarnya tidaklah sesukar mana. Yang penting, kita harus berani memulainya,” ujar Nabila.

Nabila, yang mesra disapa Bella, turut mengakui tidak berasa tertekan dengan tanggungjawab yang dipikulnya.

“Saya berasa bangga kerana berpeluang menyampaikan mesej tentang kepentingan SDG dan pada masa sama dapat mempelajari sesuatu yang bermanfaat,” tambahnya.

Pemilihan Nabila sebagai jurucakap BMC Family 360° dibuat berdasarkan keperibadiannya yang dekat dengan keluarga dan anak muda, sekali gus mencerminkan nilai yang diketengahkan melalui acara tersebut.

BMC Family 360° akan berlangsung dari 19 hingga 21 September, bermula jam 10 pagi hingga 10 malam.

Antara aktiviti yang dijadualkan termasuklah persembahan hiburan, pameran ketenteraan, pertandingan mewarna, reka bentuk poster, dan pelbagai acara menarik lain.





Source link