Malaysia Oversight

Kejohanan lasak sempena Hari Polis di Teluk Intan esok

By Utusan in September 19, 2025 – Reading time 2 minute
Kejohanan lasak sempena Hari Polis di Teluk Intan esok


TELUK INTAN: Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Hilir Perak menganjurkan kejohanan lasak yang dinamakan Terpaling Pahlawan Menara Condong sempena sambutan Hari Polis Ke-218 di Padang Speedy di sini esok.

Ketua Polis Daerah Hilir Perak, Asisten Komisioner Dr. Bakri Zainal Abidin berkata, pertandingan berkonsepkan perlumbaan berhalangan itu bakal menguji ketahanan fizikal, kekuatan mental dan semangat berpasukan peserta yang mengambil bahagian.

Menurutnya, peserta perlu merentasi 10 halangan ekstrem seperti larian tiga kilometer, angkat tayar, panjat tali, lompat palang, merangkak bawah lori, masuk kolam ais dan banyak lagi.

Beliau berkata, pertandingan terbahagi dua kategori iaitu Kategori PDRM, untuk anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Kategori Terbuka untuk  warganegara berumur 18 hingga 45 tahun dan sihat tubuh badan.

“Acara sukan lasak paling epik tahun ini kini kembali dengan lebih ekstrem, lebih mencabar.

“Semua yang memiliki ketahanan fizikal, semangat kental dan jiwa pahlawan dicabar supaya menyahut cabaran Terpaling Pahlawan Menara Condong.

“Hadiah wang tunai keseluruhan berjumlah RM6,400 selain sijil dan medal untuk semua peserta.

“Setakat ini sebanyak 60 pasukan telah mengesahkan penyertaan. Kami menjangkakan lebih 5,000 pengunjung akan hadir menyaksikan pertandingan itu nanti,” katanya.

Menurutnya, penganjuran pertandingan itu mendapat sambutan semua pihak dan komuniti setempat.

Beliau berkata, selain pertandingan, pihaknya menyediakan 35 gerai pameran dan pelbagai jualan untuk pengunjung.

“Sebagai memeriahkan acara, jualan Rahmah diadakan oleh Fama Perak dan Jabatan Pertanian yang menawarkan pelbagai barangan termasuk sayur-sayuran dan buah-buahan pada harga rendah,” katanya. – UTUSAN

 

 





Source link