ULASAN | MEGA (Persatuan Pakar Bimbingan Ketagihan Malaysia) menegaskan masalah ketagihan dadah termasuk di kalangan golongan remaja dan belia memerlukan pendekatan yang lebih empati dan berasaskan bukti.
Baru-baru ini, media melaporkan mengenai seorang calon SPM yang ditahan positif dadah selepas pulang dari Thailand.
Penahanan dan laporan sensasi seperti ini bukan sahaja memberi kesan negatif terhadap masa depan individu berkenaan, tetapi juga menambah beban kepada keluarga dan masyarakat. Tekanan untuk mengekalkan kehormatan keluarga sering kali menyebabkan individu berasa malu dan enggan mencari bantuan awal apabila memerlukan sokongan.
Lebih buruk lagi, tindakan ini tidak berasaskan rawatan profesional tetapi lebih kepada menghukum dan menghakimi. Ia hanya memburukkan lagi keadaan dan stigma dan seterusnya menghalang mereka daripada mendapatkan bantuan yang sewajarnya.
Penyalahgunaan dadah bukanlah satu kelemahan moral, tetapi lebih kepada gangguan psikiatri yang memerlukan rawatan perubatan yang komprehensif dan sokongan berterusan.
Penyalahgunaan dadah merupakan hasil daripada pelbagai faktor biologi dan psikososial, terutama dalam kalangan remaja dan belia.
Bukan hanya menghukum
Kajian menunjukkan bahawa tekanan akademik, norma sosial yang menganggap dadah sebagai satu bentuk pelepasan (escapism), dan stigma terhadap gangguan mental adalah antara pendorong utama penyalahgunaan dadah dalam masyarakat Asia.
Selain itu, masalah psikososial turut juga menjadi faktor pemacu kepada permasalahan dadah dalam masyarakat. Data dari United Nations Office on Drugs and Crime (UNODC, 2021) turut menunjukkan peningkatan kes penyalahgunaan dadah di kalangan remaja Asia, yang sering kali disebabkan oleh tekanan akademik, sosial, dan kurangnya akses kepada rawatan holistik, khususnya perubatan yang berkesan.
Justeru, pendekatan rawatan perlu mengambil kira aspek biologi, psikososial dan kerohanian serta memberikan sokongan moral dan psikologi, bukannya hanya menghukum, melayan mahupun menganggap mereka sebagai penjenayah semata-mata yang akan memberi lebih kesan negatif.
Walaupun pihak berkuasa berniat baik tetapi pelaporan seperti ini lebih memberi gambaran atau persepsi sebaliknya. Proses pemulihan memerlukan pendekatan dan persepsi yang lebih positif seperti empati dan hormat diri.
Selain itu, budaya di Asia sangat menekankan nilai keluarga dan kekuatan komuniti dalam proses pemulihan. Oleh itu penekanan pemulihan dalam komuniti perlu diberi penekanan, dan bukannya pemulihan di dalam pusat-pusat secara terkurung (involuntary and custodial) demi memastikan keberhasilan pemulihan tersebut.
Ubah stigma jadi sokongan
Kami menekankan bahawa ketagihan adalah masalah perubatan yang memerlukan rawatan profesional, bukannya hukuman sosial.
Pendekatan holistik bersifat biopsikososial dan kerohanian mampu membantu golongan pengguna dadah, khususnya yang masih muda, untuk keluar daripada kancah penyalahgunaan dadah dan membina semula kehidupan mereka.
Kami komited untuk bekerja sama dengan kerajaan, institusi pendidikan dan komuniti bagi meningkatkan kesedaran dan menyediakan program sokongan dan rawatan yang efektif.
Melalui usaha bersama ini, kita dapat mengubah stigma menjadi sokongan dan membina masyarakat yang lebih sihat dan berdaya tahan.
Dengan dasar dan panduan berasaskan bukti serta peka terhadap budaya tempatan, kami yakin perubahan positif dapat dicapai dalam usaha membantu golongan yang berdepan masalah ketagihan dan memberi harapan dan nafas baru kepada permasalahan dadah di Malaysia, khususnya untuk golongan remaja dan belia.
Marilah bersama-sama membina masa depan yang lebih cerah untuk generasi masa depan.
PROFESOR MADYA DR MUHAMMAD MUHSIN AHMAD ZAHARI adalah naib presiden Mega dan pakar psikiatrik Pusat Perubatan Pakar Universiti Malaya.
Artikel ini pandangan penulis dan tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.






