Dari bisik kemunculan semula pada 23 Disember 1969 hingga sunyi pusara di Batu 5, Jalan Kuantan–Gambang, kisahnya bukan sekadar cerita lakon; ia cermin yang memantulkan keberanian, luka, dan pengajaran yang harus diwarisi.
Mat Kilau lahir pada akhir abad kesembilan belas, anak Tok Gajah, Imam Rasu yang diasuh dengan ilmu agama dan silat. Pahang pada zamannya seperti dada yang dicengkam badai: adat dipinggirkan, kuasa pembesar terhakis, dan rakyat dibebani cukai yang menjerut.
Dari denyut sawah ke riak sungai, keluhan menjelma menjadi amarah. Mat Kilau, Datuk Bahaman, Tok Gajah dan para pendekar memilih jalan rimba; mereka menulis babak perlawanan dalam celah-celah belukar, menyerang lalu menghilang, menegakkan maruah dengan keris dan semangat yang tidak ternilai oleh huruf penjajah.
Namun sejarah tidak hanya manis dalam gema kemenangan; ia juga pahit dalam wajah pengkhianatan. Antara tahun 1895 hingga 1896, ekspedisi besar dibentuk untuk memburu Datuk Bahaman, Tok Gajah dan Mat Kilau. Hugh Clifford, atas restu sebahagian pihak istana, mengetuai usaha itu.
Rekod menunjukkan misi tersebut bukan usaha asing. Dua pegawai Melayu iaitu Syed Husin dan Syed Seman menjadi mata yang menunjuk jalan; RW Duff, Superintendent Polis Pahang, membawa anggota Dayak dan Sikh; pasukan bantuan seramai 205 orang Melayu Pahang turut serta; bahkan dua wakil kerajaan Siam turut mengikat jaringan serantau.
Ekspedisi bermula di Kuala Tembeling, merentasi hutan hingga Pasir Rawa di Tanah Merah, mengambil tiga bulan dan menelan belanja besar pada zaman itu. Nama-nama dan angka-angka ini berdiri sebagai saksi pahit bahawa kuasa penjajah mudah menembusi rimba hanya kerana ada tali-tali dalam yang bersedia menjual rahsia dan maruah.
Saya pernah menjejak kampung Pulau Tawar; walau belum pernah berdiri di pusara Mat Kilau; saya berdoa di situ dengan tangan yang sudah bergetar. Di bawah tanah yang tenang itu tersemat seorang lelaki yang dulu dicop penderhaka oleh istana, oleh penjajah, oleh mereka yang takut pada gelora zaman.
Dia dipaksa menukar nama beberapa kali, Mat Dahan, Mat Dadu, akhirnya Mat Siam kerana hidup bersembunyi lebih mulia daripada hidup yang dicemari stigma. Bayangkan wira yang harus menyulam identiti demi menyelamatkan sisa kehormatannya; itu bukan kekalahan maruah, melainkan kemenangan yang disorokkan dalam kesunyian.
Layar perak kemudian menghidupkan semula namanya. Filem Mat Kilau: Kebangkitan Pahlawan (2022) menyapu debu lupa dan menyalakan semangat generasi baru. Saya menonton filem itu dengan mata yang berair dan sanubari seorang pembaca sejarah yang skeptik.
Bagaimana istana tergoda janji
Filem itu betul pada inti pati seperti penjajahan, perlawanan dan cinta tanah air tetapi seni punya kuasa memilih: ia memadatkan dekad perjuangan menjadi babak-babak yang berdenyut dramatik, menggilap aksi silat agar berkesan di layar, dan menonjolkan hitam-putih naratif supaya mesejnya sampai pada penonton pelbagai usia.
Filem memberi roh; ia membangunkan kebanggaan yang hampir layu. Namun filem juga cenderung menyamarkan luka-luka halus: bagaimana istana tergoda janji, bagaimana pengkhianatan dalam kalangan sendiri lebih menyakitkan daripada peluru.
Sebagai seorang yang membaca hampir setiap helaian yang terbit tentang Mat Kilau, saya faham beza antara legenda dan riwayat. Legenda memberi semangat; sejarah memberi struktur dan konteks.
Filem adalah jambatan emosi kerana ia menarik anak muda untuk bertanya; sejarah adalah peta yang menuntun mereka ke sumur fakta. Ketika panggung padam dan lampu mati, tugas kita bukan berhenti pada tepukan, tetapi meneruskan pencarian: siapa yang bernama pengkhianat dalam catatan lama?
Mengapa ada yang lebih memilih dedak dunia berbanding darah bangsanya sendiri? Mengapa gelaran penderhaka mudah dipakai terhadap wira yang menentang ketidakadilan?
Saya sering ditanya: adakah pengkhianatan masih wujud dalam kalangan Melayu hari ini? Suara saya kerap lirih ketika menjawab; jawapan itu pahit tapi jujur. Khianat tidak terikat kepada masa; ia muncul bila kemelesetan moral dan godaan material menaklukkan nurani.
Dahulu ia literal menjadi mata bagi penjajah demi wang dan jaminan; kini ia menempah rupa lain, rasuah, pengkhianatan amanah, penjualan aset negara, lupa sejarah demi keuntungan sementara. Akar masalahnya sama: kerakusan, kealpaan etika, dan kegagalan menempatkan maruah kolektif melebihi kepentingan peribadi.
Kerajaan Pahang akhirnya mengiktiraf Mat Kilau. Pengisytiharan identitinya pada 1969, pengebumian yang terhormat pada 1970, pembinaan kompleks sejarah dan penamaan ruang awam semua itu wajar dirakam sebagai usaha menebus kelalaian lampau.
Tetapi penghormatan itu tidak cukup jika sekadar tugu dan plak. Warisan sebenar ialah bagaimana kenangan Mat Kilau disemaikan dalam kurikulum, dalam dasar yang memupuk integriti, dan dalam tindakan harian yang menolak dedak. Seorang pahlawan terletak bukan hanya pada batu nisan, tetapi pada keazaman generasi untuk mempertahankan kebenaran.
Sebagai warga emas OKU, pengalaman saya sendiri menjadi renungan. Dulu saya kuat, berjalan jauh, menjejak perpustakaan dan jalanan; selepas strok, kaki saya longgar, memori kadang-kala terpelintir.
Rintihan tubuh mengajar saya empati kepada insan yang hidupnya diperjudikan oleh zaman dan Mat Kilau diuji bukan hanya oleh musuh bersenjata, tetapi oleh kecamuk pengecaman dan pengasingan. Dia memilih penyingkiran demi menyelamatkan waris perjuangan daripada disaluti hinaan. Itu satu pengorbanan yang membungkam pujian tetapi menyala sebagai teladan.
Bukan sekadar nama jalan
Mat Kilau bukan sekadar watak dalam filem atau nama pada jalan. Dia peringatan agar kita menilai tindakan sendiri: apakah generasi hari ini akan menjadi pewaris keberanian atau pewaris pengkhianatan?
Sejarah memberi amaran bahawa pengkhianatan sering bermula dari pilihan kecil—menerima hadiah yang meruntuhkan prinsip, mengabaikan suara nurani demi kepentingan kelompok, melupakan akar demi kesenangan. Jika kita tidak mewarisi kesedaran sejarah, maka pusara pahlawan akan menjadi monumen yang kosong, hanya sekali dilihat lalu dilupakan.
Akhir kata, saya menyeru generasi muda supaya membaca lebih daripada skrin. Tengok filem, ya, biar ia menyalakan rasa ingin tahu. Tetapi teruskan membaca dokumen, bukti, catatan lisan.
Pelajari nama-nama yang tersurat dan yang tersirat. Jadikan pusara Mat Kilau sebagai kitab kecil: bahawa keberanian bukan sekadar melawan musuh yang nyata, tetapi juga menolak pengkhianatan yang bersembunyi dalam selimut sendiri. Maruah bangsa tidak boleh diperjualbelikan; ia harus dijaga dengan nyawa dan integriti.
Di penghujung catatan ini, saya titipkan doa: semoga nama Mat Kilau terus menjadi peringatan, bukan sekadar pujian. Semoga kita menolak dedak, mempertahankan amanah, dan memelihara maruah hingga ke hujung nyawa.
Biarlah api perjuangan itu tidak padam; biarlah ia menyala dalam setiap hati yang cinta tanah dan bangsa.
MOHD FUDZAIL MOHD NOR pernah bermastautin di UAE, Arab Saudi dan New Zealand. Dia pernah bekerja di TV3, menjadi usahawan serta CEO dan pengarah beberapa syarikat antarabangsa.
Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.