Malaysia Oversight

‘Showcase ini perayaan buat peminat saya’

By Utusan in September 19, 2025 – Reading time 3 minute
‘Showcase ini perayaan buat peminat saya’


Pernah berada di titik terendah apabila hasratnya untuk mengadakan sebuah konsert berskala besar terkubur begitu sahaja, Aisha Retno mengakui dirinya masih belum yakin untuk melalui fasa itu sekali lagi.

Katanya, dia bahkan trauma dengan perkataan konsert kerana momen itu masih segar malah meninggalkan parut yang dalam di ruang memorinya.

“Selalunya orang kata lepas showcase pasti akan menjerumus ke konsert yang lebih besar. Tetapi saya belum ada visi itu sama sekali sebab saya masih trauma dengan perkataan itu.

Menuju ke showcase ini pun saya mengambil masa lima tahun untuk beranikan diri. Jadi, untuk konsert yang berskala besar perancangan itu ada tetapi bukanlah dalam masa yang terdekat,” jelasnya.

Meskipun serik, penyanyi lagu Tak Adil itu mengakui bukan mudah untuk dirinya bangkit semula dan memulakan fasa kehidupannya dengan sebuah showcase yang akan berlangsung esok.

Tambah Aisha, dia juga berharap kejayaan showcase itu nanti menjadi pembuka jalan dan pembakar semangat untuk dirinya beraksi di pentas yang lebih besar suatu hari nanti.

“Ada sahaja pihak penganjur yang pelawa untuk adakan konsert untuk saya. Tetapi kerana trauma itu saya masih berkeras untuk bermula dengan showcase terlebih dahulu.

“Saya tidak mahu buat besar-besaran sebab repertoir yang saya miliki sekarang ini pun dihasilkan khas untuk peminat. Pengalaman lalu benar-benar membuat saya menjadi seorang yang lebih berhati-hati sekarang.

“Namun, saya tidak akan menolak rezeki jika hari itu tiba lebih awal. Saya menganggap adanya showcase ini sebagai pemangkin semangat saya untuk lebih yakin untuk adakan konsert akan datang,” ujarnya.

SEDIA FIZIKAL DAN MENTAL
Lima tahun gigih mencipta nama dalam persada muzik tanah air, penyanyi, Aisha Retno mengakui dirinya kini giat mempersiapkan diri untuk sebuah showcase istimewa buat peminatnya yang dinamakan The AISHA Experience.

Bakal berlangsung pada 20 September ini, penyanyi yang berusia 25 tahun itu tetap komited mahu menjadikan acara itu sebagai malam yang bermakna meskipun dirinya kini sibuk menyiapkan baki kerja yang tersisa.

“Sekarang saya buat persediaan lebih dari segi mental dan fizikal. Kalau dicerakinkan secara mendalam, menjelang showcase ini saya masih lagi tidak henti-henti menyiapkan kerja yang sedia ada.

“Dari segi fizikal pula, kebanyakan lagu saya berentak rancak sudah tentu itu memerlukan stamina dan ketahanan yang kuat.

“Jadi, masa yang saya ada menjelang ke showcase itu sangat terhad. Siapa sangka, penjam celik hari itu tiba,” katanya.

Menurut Aisha, showcase ini juga merupakan hadiah buat peminat setia yang sentiasa menjadi tulang belakang dalam setiap jatuh bangunnya sepanjang bergelar seorang penghibur.

Dengan itu, penyanyi kacukan Melayu, Arab dan Jawa ini sudah mempersiapkan beberapa buah lagu baharu untuk diperdengarkan kepada penonton pada malam itu nanti.

“Showcase ini sangat bermakna bagi saya kerana ini merupakan sebuah perayaan buat peminat saya. Memang saya adakan acara ini bukan untuk diri saya tetapi kepada mereka yang sudah menyokong saya selama lima tahun dalam industri muzik.

“Saya juga sudah sediakan beberapa buah lagu untuk album saya. Lagu-lagu tersebut juga saya akan persembahkan pada malam itu.

“Secara tidak langsung malam itu nanti bakal menjadi malam pengenalan untuk album baharu saya. Selain itu, saya juga akan tunaikan permintaan peminat saya untuk menyanyikan beberapa lagu cover,” kongsinya.-UTUSAN





Source link