Biro Antarabangsa Amanah berpendapat mungkin ada kesan sampingan yang tidak diingini ekoran kunjungan Presiden AS, Donald Trump, ke Malaysia sempena Sidang Kemuncak Asean pada bulan depan.
Pengerusinya, Raja Bahrin Shah Raja Ahmad, berkata kedatangan Trump boleh menyebabkan peningkatan persepsi negatif dalam kalangan ekstremis bahawa Anwar Ibrahim menjaga kepentingan AS di sebalik pendirian tegas perdana menteri terhadap Palestin.
“Persepsi yang dicipta itu sangat bahaya (dan boleh) mencetuskan pergolakan dalaman menjelang pilihan raya akan datang,” katanya kepada Malaysiakini.
Sebelum ini, Anwar mengumumkan Trump akan berada di Malaysia untuk menghadiri Sidang Kemuncak Asean. Ia akan dilangsungkan di Kuala Lumpur sempena kedudukan Malaysia sebagai pengerusi bagi blok serantau itu.
Pada 5 Sept lalu, sekumpulan 23 NGO menggesa Putrajaya membatalkan lawatan Trump kerana pendirian moral Malaysia yang jelas terhadap “malapetaka kemanusiaan” di Gaza.
Mereka turut menyenaraikan rekod dan dasar Trump yang dilihat membuktikan sikap “tidak peduli” ahli politik terbabit terhadap nyawa rakyat Palestin serta “penglibatan langsung” dia dalam membolehkan keganasan terhadap Palestin.
Justeru, mereka berkata langkah mengalu-alukan kedatangan Trump ke Malaysia “bukan sahaja tidak wajar, malah amat menghina”.
Menurut Raja Kamarul Bahrin, setakat ini dia tidak pasti jika Amanah – melalui menterinya – akan membawa isu tersebut dalam mesyuarat kabinet.
“Saya tak fikir begitu. Saya tak ada dengar. (Mungkin mereka) mengambil langkah selamat (tetapi) saya perlu bersuara,” katanya.

Ketika ditanya sama ada lawatan Perdana Menteri India Narendra Modi boleh membangkitkan sentimen yang sama atau sebaliknya, Raja Bahrin Shah berpendapat ia tidak begitu.
Namun bekas timbalan menteri perumahan dan kerajaan tempata itu mengakui orang Islam negara ini juga tidak berpuas hati dengan pandangan ekstremis Modi.
Semalam, Raja Kamarul Bahrin menyerahkan memorandum kepada Kedutaan AS di Kuala Lumpur untuk mengecam pembabit negara itu dalam serangan Israel ke atas lokasi pemimpin Hamas di Doha, Qatar baru-baru ini.
Katanya memorandum itu diterima oleh Ketua Unit Hal Ehwal Dalam Kedutaan, Siree D Allers.
Katanya dia menyatakan kebimbangan terhadap lawatan Trump yang mungkin mencetuskan demonstrasi di Malaysia lalu menyebabkan pergolakan tempatan seperti di Indonesia.
Menurut Raja Bahrin Shah, pihaknya khuatir lawatan Trump sempea Sidang Kemuncak Asean mungkin mengganggu keharmonian kesatuan itu dengan negara lain.
“AS sudah mendorong Filipina untuk berkonfrontasi dengan China,” tambahnya.
Bagaimanapun, dia berkata, Allers tetap tidak komited berhubung kemungkinan AS akan menyekat Israel.