Seorang bekas anggota Jawatankuasa PAS Pusat hari ini memberi gambaran bahawa PN kini berada dalam keadaan “mulai tenat.”
Menurut Mohd Zuhdi Marsuki, PAS membentuk beberapa gabungan politik dalam tempoh sedekad lalu.
Katanya daripada tiga gabungan politik yang disertai PAS, dua sudah “berkubur.”
“Dalam tempoh 10 tahun, PAS telah membentuk tiga gabungan politik – Gagasan, MN dan PN.
“Dua telah berkubur, satu sudah mulai tenat,” katannya dalam catatan ringkas di media sosial.
Gagasan yang dirujuk Mohd Zuhdi itu merujuk kepada pakatan politik Gagasan Sejahtera yang asalnya dibentuk PAS bersama Parti Ikatan Bangsa Malaysia (Ikatan) pada Ogos 2016, sebelum disertai Barisan Jemaah Islamiah Semalaysia (Berjasa) kira-kira sebulan kemudian.
MN pula merujuk kepada Muafakat Nasional yang melibatkan PAS dan Umno.
Jika Gagasan tertubuh sebelum PRU ke-14, MN pula terbentuk selepas pilihan raya itu yang menyaksikan BN dikalahkan buat pertama kali dan PH menjadi kerajaan. Ia meletakkan PAS dan Umno–BN sama-sama menjadi pembangkang.
PAS kemudian mengambil langkah sepihak membentuk PN bersama Bersatu selepas kerajaan PH dijatuhkan melalui Langkah Sheraton. Menyertai gabungan itu kemudian adalah beberapa parti lebih kecil seperti Gerakan.
Bagaimanapun akhir-akhir ini hubungan di antara PAS dan Bersatu dilihat tegang ekoran pelbagai isu termasuk pencalonan perdana menteri, siapa yang lebih wajar mengetuai PN serta percaturan strategi menghadapi PRU.
Menyusul di bawah hantaran Mohd Zuhdi itu adalah beberapa reaksi, termasuk rasa kurang senang pengguna media sosial yang berpendapat bekas setiausaha politik menteri alam sekitar dan air itu tidak wajar membuat kenyataan sedemikian.
Kepada satu komen yang meminta kepastian jika Mohd Zuhdi melihat PN benar-benar tenat, bekas pensyarah kanan di Universiti Malaya itu menjawab: “Harapnya masih boleh diselamatkan lagi.”
Untuk rekod PAS bukanlah asing kepada langkah mengadakan gabungan politik. Sebelum Gagasan, MN dan PN, parti itu pernah menubuhkan Angkatan Perpaduan Ummah bersama Parti Semangat 46 dan Pakatan Rakyat (bersama PKR dan DAP).






