Projek Kestabilan dan Akauntabiliti untuk Malaysia (Projek Sama) menggesa Perdana Menteri Anwar Ibrahim mewujudkan garis panduan jelas kepada pihak polis berhubung bila siasatan perlu dibuat terhadap ungkapan yang dianggap “menyinggung” atau “sensitif”, dengan memberi peringatan bahawa sistem sedia ada ada risiko menyekat perbezaan pendapat.
Projek Sama berkata tindakan membuat laporan polis kini telah “diperalatkan secara sistematik” untuk menekan pandangan yang berbeza, sekali gus menjejaskan kebebasan bersuara, berhimpun dan berpersatuan yang dijamin Perlembagaan Persekutuan.
“Tanpa garis panduan sebegini, polis akan berdepan tekanan besar untuk memulakan siasatan setiap kali laporan dibuat. Apabila polis gagal bertindak secara konsisten, kepercayaan awam terhadap institusi polis akan terhakis,” kata kumpulan itu dalam kenyataan hari ini.
Menurutnya, siasatan polis tidak sepatutnya dimulakan semata-mata kerana jumlah laporan yang banyak, kerana ia membolehkan pihak tertentu menutup suara yang tidak popular daripada perdebatan terbuka.
“Jika setiap suara yang tidak popular boleh dibisukan hanya kerana berpuluh laporan polis dibuat, maka masyarakat kita akan menjadi malas berfikir dan pasif — apa sahaja hujah yang kita tidak mampu menang, kita buat laporan polis untuk menutup mulut lawan.
“Kebodohan ini paling jelas ditunjukkan melalui laporan polis terhadap Persatuan Belia Baru Universiti Malaya (Umany) hanya kerana mereka menggesa supaya program matrikulasi dimansuhkan.
“Setiap orang berhak tidak bersetuju dengan gesaan Umany, tetapi bantahan itu sepatutnya disuarakan melalui hujah yang meyakinkan masyarakat. Itulah cara masyarakat moden dan bertamadun berfungsi,” tambah kumpulan itu.
Kes tersebut kini disiasat di bawah Seksyen 505(b) Kanun Keseksaan berhubung kenyataan yang boleh menyebabkan kegentaran awam, serta Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 berhubung penyalahgunaan kemudahan atau perkhidmatan rangkaian.
Seksyen 505(b) memperuntukkan hukuman penjara sehingga dua tahun, denda, atau kedua-duanya sekali, manakala Seksyen 233 pula memperuntukkan denda sehingga RM500,000, penjara sehingga dua tahun, atau kedua-duanya sekali.
Terdahulu hari ini, polis mengambil keterangan wartawan Malaysiakini, Shakira Buang berhubung artikel yang memetik Presiden Umany Tang Yi Ze, yang menggesa Kementerian Pendidikan Tinggi memansuhkan program matrikulasi dan menjadikan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) sebagai satu-satunya kelayakan untuk kemasukan ke universiti awam.
Selepas menerima kritikan susulan gesaan itu, Umany memohon maaf dan menjelaskan pihaknya menggunakan istilah yang tidak tepat ketika mencadangkan penggabungan dengan peperiksaan STPM.






