KOTA KINABALU: Salah seorang remaja yang didakwa membuli Allahyarham Zara Qairina Mahathir pernah ditegur pihak sekolah agar tidak membuat tuduhan melulu tanpa sebarang bukti.
Ketua warden, Azhari Abd. Sagap memberitahu, teguran tersebut diberikan kepada pelajar yang dinamakan sebagai Pelajar A pada 4 Julai lalu.
Katanya, bermula Mac lalu, iaitu kira-kira sebulan selepas sesi persekolahan baharu bermula, ibu kepada Pelajar A itu sering membuat aduan mengenai anaknya yang kehilangan dompet, kad telefon awam diambil dan digunakan oleh senior asrama, almarinya diumpil serta barang peribadi digunakan tanpa kebenaran.
Dalam beberapa aduan yang dibuat oleh ibu Pelajar A, nama Zara Qairina dan seorang penghuni dorm yang sama dengan remaja itu turut disebut.
“Dakwaan A ini tidak ada bukti. Saya sudah siasat tetapi tiada bukti. Saya juga sudah tanya pada pelajar yang dikatakan mengumpil almari Pelajar A tetapi pelajar yang dituduh itu menafikannya,” katanya.
Mengenai kehilangan wang sebanyak RM300, Azhari berkata, Pelajar A seolah-olah tidak kisah sedangkan jumlah kecurian adalah besar.
Katanya, pelajar terbabit juga tidak memberikan sebarang reaksi apabila ditanya mengenai permohonan ibunya yang ingin menukarnya ke dorm lain.
Zara Qairina dan Pelajar A ditempatkan di dorm A3-5 dan ibu Pelajar A membuat permohonan agar anaknya itu dipindahkan ke dorm A3-6.
Ditanya oleh peguam Joan Goh yang mewakili Pelajar A kemungkinan anak guamnya tidak memberikan sebarang respons kerana dia sering dipulau ekoran tindakan ibunya yang selalu membuat aduan, Azhari atau Ustaz Azhari menafikannya.
“Saya tak nampak dia dipulau di kelas. Pelajar A juga tidak menunjukkan bahawa dia stres. Sejak dari Mac sehingga Julai lalu, Pelajar A tidak pernah membuat aduan terus kepada saya atau warden mengenai apa-apa masalah sebaliknya aduan datang daripada ibu Pelajar A,” kata saksi kelapan inkues kematian Zara Qairina pada prosiding yang memasuki hari kesembilan, hari ini.
Selain itu, Azhari turut memaklumkan kira-kira dua hari sebelum Zara Qairina ditemukan terlentang dan tidak sedarkan diri di asrama Blok A, Rabiatul Adawiyah, Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) Tun Datu Mustapha, Papar, remaja terbabit juga dituduh mencuri wang rakan sekelas.
“Pada 14 Julai lalu, ada aduan kepada guru lain dan Zara telah dituduh. Guru itu, Cikgu Sham terus buat spotcheck (pemeriksaan) tetapi tidak menemui apa-apa. Esoknya ibu Pelajar A menghantar mesej melalui Telegram memberitahu dompet Pelajar A yang mengandungi wang, kad pengenalan dan kad bank telah hilang.
“Hasil siasatan mendapati kad pengenalan Pelajar A ada bersama guru hoki kerana pelajar terbabit akan mewakili sekolah dalam satu pertandingan hoki,” kata Azhari.
Terdahulu, Azhari turut memaklumkan ada menerima aduan daripada ibu Pelajar A sekitar Mac lalu, antara lain menyatakan anaknya mengadu wangnya dicuri oleh seorang pelajar dan turut mendakwa bahawa Zara Qairina mempunyai kecenderungan seksual songsang.
“Saya berjumpa dengan Pelajar A dan tanya dia apa berlaku. Dia cerita (perkara sama) mengenai Zara dan seorang lagi pelajar (yang didakwa mencuri). Saya telah maklumkan kepada unit disiplin dan satu OPR (one page report) juga telah dibuat. Salinan OPR saya dah serah pada pihak polis.
“Saya rasa inilah isu gangguan seksual yang tular di media sosial. Hasil siasatan (sekolah) mendapati semuanya adalah salah faham. Ada pengakuan bertulis daripada Pelajar A, Zara dan pelajar yang seorang lagi. Ketiga-tiga mereka juga telah diberikan kaunseling,” katanya.
Ketua warden itu akan menyambung keterangannya esok. – UTUSAN