Malaysia Oversight

Lelaki ditahan curi kabel TM bernilai RM10,000 di Alor Gajah

By TheSun in September 18, 2025 – Reading time 1 minute
Lelaki ditahan curi kabel TM bernilai RM10,000 di Alor Gajah


ALOR GAJAH: Polis menahan seorang lelaki yang disyaki mencuri kabel milik Telekom Malaysia bernilai kira-kira RM10,000 dalam kejadian di Jalan Besar Kemuning, Gadek.

Pemangku Ketua Polis Daerah Alor Gajah DSP Azrul Mohamed berkata kejadian kira-kira pukul 3.10 pagi Ahad lepas itu dikesan anggota rondaan cegah jenayah yang ternampak sebuah kereta mencurigakan.

“Hasil pemerhatian mendapati tiga lelaki sedang mencuri kabel sebelum bantuan kereta peronda dipanggil.”

“Kereta dinaiki suspek berusia 29 tahun cuba melarikan diri namun berjaya dikejar sejauh lima kilometer sebelum terbabas di Jalan Keru, Kemuning.”

“Seorang suspek ditahan manakala dua lagi melarikan diri,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata polis turut merampas sebuah Proton Wira, dua pemotong wayar, 61 batang kabel dipotong, 10 gelung kabel, dompet dan sebatang anak kunci.

Azrul berkata ujian saringan air kencing mendapati suspek positif methamphetamine namun tidak mempunyai rekod jenayah lampau.

Katanya, usaha mengesan dua lagi suspek giat dijalankan dengan bantuan Unit Anjing Pengesan (K9).

“Suspek direman empat hari bermula 14 Sept bagi siasatan mengikut Seksyen 379 dan Seksyen 186 Kanun Keseksaan serta Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya. – Bernama



Source link