Malaysia Oversight

‘Ini bukan cara layan atlet’

By MkiniBM in September 18, 2025 – Reading time 2 minute
‘Ini bukan cara layan atlet’


Menteri Belia dan Sukan Hannah Yeoh menegur Majlis Paralimpik Malaysia (MPM) kerana mahu mengambil tindakan tegas terhadap jaguh badminton para negara Cheah Liek Hou.

Semuanya gara-gara Liek Hou meluahkan kekecewaan terhadap MPM kerana belum mendapat insentif RM60,000 yang dijanjikan kepada pemenang pingat emas Sukan Paralimpik Paris 2024, setahun lalu.

“Ini bukan cara kita melayan atlet yang telah mengangkat nama Malaysia di persada dunia. 

“Liek Hou merupakan seorang atlet yang rajin dan setiap kali bertanding, membawa pulang pingat untuk Malaysia,” katanya.

63ec814408dcc503c9d540ce1d8d7282
Hannah Yeoh

Beberapa jam lalu, Majlis Paralimpik Malaysia (MPM) berkata mereka mempertimbangkan tindakan undang-undang terhadap Liek Hou kerana mengeluarkan kenyataan terbuka yang “mencalarkan kredibiliti dan merencatkan kemasukan penaja”.

Presiden MPM Megat D Shahriman Zaharudin juga berkata pihaknya tidak akan teragak-agak menggantung atlet itu daripada menyertai mana-mana temasya besar.

Megat berkata pada awalnya sebanyak tiga syarikat tampil menjadi penaja kepada pemenang pingat di Paris 2024, selain menegaskan tidak mengetahui punca daripada mana jumlah RM60,000 itu wujud.

134a8b3aaf62ea94123d990e57f59383
Megat D Shahriman Zaharudin

Katanya, MPM menerima RM88,000 daripada satu penaja untuk disalurkan kepada pemenang pingat di Paris 2024.

Pemenang emas termasuk Liek Hou menerima RM25,000 manakala perak RM15,000 dan gangsa RM8,000 dan akan diberikan oleh MPM hari ini.

Tak langgar disiplin

Menulis di media sosial sebentar tadi, Yeoh juga berkata Liek Hou tidak melanggar mana-mana garis disiplin. 

Sebaliknya, kata Yeoh, dia hanya menuntut apa yang dijanjikan kepadanya setahun selepas memenangi pingat emas di Sukan Paralimpik Paris. 

“Ini bukan isu disiplin tetapi berpunca daripada kelewatan MPM sendiri,” katanya.

Yeoh juga mengingatkan bahawa Liek Hou berada bawah jagaan Persatuan Badminton Malaysia (BAM) dan dibiayai sepenuhnya oleh Majlis Sukan Negara (MSN). 

Justeru, katanya, apa-apa keputusan mengenai kedudukan Liek Hou bukan di tangan MPM semata-mata. 

“MPM tidak berhak bertindak sendiri,” katanya yang mengingatkan bahawa penaja menyokong dan meraikan kejayaan atlet, bukan menaja MPM sahaja.



Source link